Imbas Kembali...wakil penduduk Kampung Padang Hangus menerima replika cek daripada Menteri Besar selepas diumumkan pemenang Pertandingan Pelita Raya tahun lalu.
Lebih 10,000 biji pelita akan dinyalakan sempena Pertandingan Pelita Raya 2011 yang bakal berlangsung dari 24 hingga 26 Ogos ini di beberapa kampung dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepuh.
Penyelaras Pertandingan, Mohd Saberi Muda, berkata antara yang bertanding ialah Kampung Raja Tepoh, Kampung Baru Tepoh, Kampung Padang Hangus, Kampung Padang Ubi dan Kampung Tokeng, membabitkan 200 peserta.
"Pertandingan ini menawarkan hadiah sebanyak RM1,000 untuk johan, naib johan sebanyak RM750 dan RM500 untuk tempat ketiga, manakala tujuh hadiah saguhati bernilai RM250 disediakan untuk setiap kampung yang bertanding," katanya.
Beliau berkata, pertandingan anjuran Lembaga Muzium Negeri Terengganu dengan kerjasama kerajaan negeri dan Pejabat Kementerian Pelancongan Malaysia itu akan berlangsung selama tiga malam, dengan kemuncaknya pada malam tujuh likur yang bakal menggamitkan nostalgia masyarakat tentang budaya setempat.
"Berdasarkan penganjuran lalu, kemeriahan pertandingan ini turut dikongsi oleh sebilangan besar pengunjung dari dalam dan luar negara, dan saya berharap program ini bakal menjadi salah satu produk pelancongan negeri yang bakal diperkenalkan pada masa akan datang," katanya.
No comments:
Post a Comment