Seorang peniaga pakaian dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM2,000 selepas mengaku bersalah memiliki pelbagai jenis mercun dan bunga api di Mahkamah Majistret, di Kuala Terengganu, kelmarin.
Tertuduh, Ammaran Yusuf, 42, dari Taman Biji Sura, Kampung Telok Menara, Manir, Kuala Terengganu mengaku bersalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1987.
Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintenden Ngiam Ooi Ming di hadapan Majistret Noradila Ab Latif.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh pada 19 Ogos lalu kira-kira jam 3.50 pagi di alamat Taman Biji Sura, Kampung Telok Menara, Manir, Kuala Terengganu telah didapati dalam milikannya bahan letupan iaitu mercun dan bunga api.
Antaranya, mercun Assorted WA 1.5 sebanyak lapan kotak, bunga api ‘Rosemary B12’ (26 kotak), mercun No.0203-2 (enam bungkus), mercun bola (19 bungkus), mercun ‘Magical Shots’ (24 bungkus), mercun ‘16 Shot Cake’ No.117 4216 (11 unit), mercun ‘Good Wish’ (tiga set), mercun No.1024-10A (lima bungkus), mercun ‘Whistling Moon Travellers’ (satu kotak) dan mercun ‘Glow of Sunse’ (tiga kotak) tanpa tujuan yang sah dari sisi undang-undang.
Dengan itu, jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan penjara selama tujuh tahun atau denda sebanyak RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu, di mahkamah sama, seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM1,500 selepas mengaku bersalah memiliki satu plastik hitam yang mengandungi beberapa unit mercun pada 18 Ogos lalu.
Tertuduh, Muhammad Abdillahzahin Bidi dari Kampung Kubang Terap, Jalan Pulau Musang mengaku memiliki bahan letupan itu yang disimpan di bawah kaunter Mini Market Norli No 1834 kampung Kubang Terap, Jalan Pulau Musang pada 18 Ogos lalu kira-kira jam 9.30 malam.
Tertuduh mengaku memiliki satu kotak berisi 10 unit mercun yang bertulis ‘Red-Blay’, 12 unit mercun yang bertulis ‘Ground Bloom Flower’, satu plastik lut sinar yang berisi 71 unit mercun ketupat, satu kotak yang bertulis ‘Jumping Frogs’ yang berisi 46 unit, satu plastik lut sinar yang berisi 44 unit mercun botol, satu kotak yang bertulis ‘BGPOL 34-A’ yang berisi 16 unit dan satu kotak yang bertulis ‘Smoke Ball’ yang berisi sembilan bungkus yang di dalamnya mengandungi enam unit bunga api setiap satu bungkus.
No comments:
Post a Comment