Friday, August 19, 2011

101 Rumah Dibaik Pulih di Kemaman - Ahmad Shabery

Sebanyak 101 rumah penduduk miskin yang uzur di Parlimen ini dikenal pasti untuk dibaik pulih di bawah Program Mesra Rakyat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dilancarkan di seluruh negara beberapa bulan lalu.

Ahli Parlimen Kemaman merangkap Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, melalui program itu, pihaknya turun padang mengenal pasti rumah rakyat miskin yang perlu dibaik pulih dalam tempoh terdekat.

“Kerajaan memperuntukkan RM3,000 dan RM5,000 untuk setiap pemilik rumah bagi tujuan membaik pulih bahagian tertentu yang uzur serta rosak.

“Walaupun peruntu-kan bantuan yang diberikan ini agak kecil, tetapi junlah itu cukup untuk membaik pulih kerosakan tertentu pada rumah mereka termasuk lantai atau dinding yang sudah reput mahupun bumbung bocor,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke kawasan perumahan penduduk di Kampung Tengah, Kemaman,Ahad lalu.

Dalam lawatan yang turut disertai Ketua Pemuda Umno Bahagian Kemaman, Mohd Hisham Zubir dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tengah, Amran Baba itu, sebanyak 11 rumah dikenal pasti layak untuk dibaik pulih.

Ahmad Shabery berkata, program itu akan berterusan dan jumlah rumah yang mengalami kerosakan mungkin akan bertambah, justeru JKKK akan diberikan peranan melakukan pemantauan.

Sementara itu, menurutnya, selain program mesra rakyat membaiki rumah orang kampung, satu lagi program diusahakan iaitu Titik Sentuhan.

Katanya, menerusi program itu, pihaknya mengenal pasti keperluan mereka yang uzur atau mengalami sakit kronik untuk dibantu mengikut keperluan.

“Jika seseorang lumpuh dan perlukan kerusi roda, kita akan dapatkan kerusi roda untuk mereka agar beban ditanggung dikongsi bersama,” katanya.

No comments:

Post a Comment