Monday, August 8, 2011

25 Lagi CCTV di Tempat Strategik Kuala Terengganu

Dalam usaha membanteras kejadian jenayah di kawasan bandar, kerajaan negeri akan memasang 25 lagi kamera litar tertutup (CCTV) agar memudahkan pihak berkuasa mengesan mereka yang terbabit.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, sebelum ini kerajaan negeri telah memasang 25 buah CCTV di persimpangan-persimpangan jalan melibatkan peruntukan kira-kira RM2.5 juta.

Katanya, rakaman CCTV merupakan bukti paling penting dalam siasatan sesuatu kes jika tiada saksi di tempat kejadian.

"Penggunaan CCTV amat berkesan untuk mengesan kegiatan yang dilakukan oleh peragut, perompak dan mat rempit terutama jika ia melibatkan kehilangan nyawa," katanya selepas melawat dua beradik mangsa ragut yang terlibat dalam kemalangan pagi Ahad lepas di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) akan diminta menambah CCTV di persimpangan-persimpangan yang strategik selain meminta masyarakat memainkan peranan untuk membantu mangsa jenayah terutama seperti yang berlaku kepada dua beradik itu.

Beliau percaya kawasan yang berlaku kejadian ragut itu tidak dilengkapi CCTV menyebabkan kesukaran pihak berkuasa mengenal pasti suspek sehingga kini.

"Dalam kes ini, saya difahamkan peragut tidak meletakkan nombor pendaftaran pada motosikal mereka dan itu menunjukkan mereka ada niat untuk meragut. Mereka tidak peduli siapa yang menjadi mangsa, justeru kita harap dengan pemasangan lebih banyak CCTV dapat mengurangkan masalah jenayah itu," katanya.

No comments:

Post a Comment