Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Datuk K. Rajagobal berkata perlawanan persahabatan malam semalam yang menyaksikan skuadnya kalah 0-1 kepada pasukan Selangor adalah bagi mencari kombinasi terbaik antara pemain lama dan baru.
"Saya beri peluang kepada pemain lama dan beberapa muka baru untuk lihat keserasian mereka. Dari perlawanan ini saya akan pilih pemain sama ada untuk kekalkan mereka dalam pasukan atau tidak," katanya selepas perlawanan itu yang berlangsung di Stadium Shah Alam.
Beliau berkata ketiadaan beberapa pemain utama menjejaskan rentak permainan pasukan kebangsaan.
Tujuh pemain skuad kebangsaan sedang menjalani latihan dan perlawanan persahabatan bersama skuad Olimpik di Slovakia.
Mengulas mengenai aksi beberapa pemain yang dipanggil untuk menyarung skuad kebangsaan, Rajagobal berkata ada di antara pemain tersebut beraksi dengan baik tetapi ada juga yang masih tidak menepati standard untuk mewakili pasukan negara.
"Mohd Khyril Muhymeen dan Mohd Farizal Marlias menampilkan aksi yang baik pada perlawanan ini. Saya berharap mereka dapat meneruskan persembahan sebegini," katanya.
Beliau berkata beliau akan menggunakan aksi Piala Malaysia yang akan bermula bulan depan untuk melihat potensi baru dan memanggil pemain untuk memperkuatkan pasukan Malaysia.
Sementara itu ketua pasukan, Safiq Rahim berkata Harimau Malaya masih lagi dalam proses memperkuatkan pasukan dan berharap dapat belajar sesuatu daripada kekalahan kepada Selangor
"Taktikal Selangor menjadi malam ini, manakala pasukan kebangsaan masih mencari kombinasi baru. Banyak lagi kelemahan perlu dibaiki dalam pasukan," katanya.
Bagi pemain Terengganu, Joseph Kalang Tie antara muka baru yang dipanggil menyertai perlawanan persahabatan itu, perlawanan itu merupakan satu permulaaan baik kepadanya namun masih banyak yang perlu beliau pelajari untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama skuad kebangsaan.
No comments:
Post a Comment