Tuesday, August 9, 2011

4 Datuk Antara 6 Kaki Jadi Didenda RM2,000

Padah tidak menghormati bulan Ramadan, enam sekawan didenda RM2,000 setiap seorang setelah didapati bersalah oleh Mahkamah Majistert di Kuala Terengganu kerana berjudi.

Lebih menyedihkan, empat di antara enam sahabat itu sudah bergelar datuk yang sepatutnya menghabiskan sisa usia mereka untuk beribadat terutama pada bulan yang mulia ini.

Mereka ialah Abdul Rahim Sigh Abdullah, 37, dari Seberang Takir; Yuhasafuddin Yusof, 24, dari Kampung Rhu 10 Setiu; Mat Seri Mamat, 48, Taman Sri Kolam; dan Malizar Sutan Sulaiman, 51, dari Kuala Ibai, Ibrahim Abdulah, 55, dari Kampung Padang Ujib, Manir dan Mahsuri Ngah, 60, dari Kampung Melintang Wakaf Beruas.

Mereka dituduh melakukan perbuatan tersebut di belakang sebuah kedai di Jalan Sultan Ismail pada jam 12.15 pagi tadi.

Kesemua mereka didakwa secara bersama berjudi dengan menggunakan buah dadu dan bertaruh dengan menggunakan wang yang merupakan kesalahan mengikut Seskyen 7 (2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Kesemua mereka yang tidak diwakili peguam mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nor Azizah Mohd Yusof.

Sebelum membacakan hukuman, Nor Azizah menasihati kesemua tertuduh agar berubah dan tidak lagi mengulangi perbuatan tersebut.

"Jika dilihat dari segi usia, kamu ni semuanya dah besar-besar belaka dan ada dah yang berpangkat ayah serta datuk.

"Kamu sepatutnya malu pada anak-anak kamu, manakala mana yang sudah ada cucu, patut malu kepada cucu kamu kerana berjudi lebih-lebih lagi di bulan Ramadan," katanya,

Nor Azizah kemudian memberi amaran keras akan mengenakan hukuman penjara selepas ini jika mereka didapati kembali melakukan perbuatan tersebut.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Insp V Ravi.

No comments:

Post a Comment