Tuesday, August 9, 2011

Dua Peniaga Miliki Mercun Dan Bunga Api Ditahan Di Terengganu

Polis menahan dua peniaga dalam serbuan berasingan di Kampung Bukit Payong Ahad malam kerana didapati memiliki mercun dan bunga api yang nilai rampasannya berjumlah RM400.

Ketua Polis Daerah Marang, DSP Ahmad Mazlan Yahaya berkata ia merupakan kes pertama rampasan mercun dan bunga api sempena bulan puasa di Marang tahun ini.

Hasil maklumat orang awam, serbuan pertama dibuat di sebuah rumah di Kampung Batu 9 kira-kira 9 malam dan di mana polis menahan seorang lelaki berusia 28 tahun dan merampas sejumlah mercun dan bunga api bernilai kira-kira RM100.

Kira-kira tiga jam selepas itu, polis membuat pula serbuan ke atas sebuah rumah di Kampung Batu 10 dan menahan seorang lelaki berumur 48 tahun serta merampas mercun dan bunga api bernilai RM300.

Ahmad Mazlan berkata kedua-dua lelaki tersebut dipercayai menjual mercun di sekitar Kampung Bukit Payong.

Beliau berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang pesalah boleh dikenakan penjara sehingga tujuh tahun dan denda RM10,000 atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

No comments:

Post a Comment