Friday, August 5, 2011

57 pelatih PLKN di Terengganu Bakal Berhadapan Tindakan

Tindakan yang lebih tegas bakal dikenakan terhadap 57 orang pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dari Terengganu kerana gagal menghadirkan diri pada program itu bagi Siri 6/2009.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner K Manoharan, berkata daripada jumlah itu, 31 kes dilaporkan berlaku di Kuala Terengganu, tujuh (Kemaman), 11 (Dungun), lima (Besut) dan tiga (Hulu Terengganu).

"PLKN memandang serius perkara ini dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 18 (1), Akta Latihan Khidmat Negara 2007," katanya kepada pemberita.

Manoharan berkata, pihaknya akan mengkaji punca sebenar pelatih gagal menghadiri program berkenaan.

"Saya berharap mana-mana pelatih yang tidak hadir pada siri 6/2009 supaya datang ke balai polis berdekatan untuk membantu siasatan pihak kami," katanya.

Mengulas mengenai kes pemasangan kamera litar tertutup di dalam tandas pelajar perempuan di sebuah Sekolah Menengah di Kemaman Ahad lalu, beliau berkata, polis percaya perbuatan itu dilakukan oleh pelajar.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menceroboh hak peribadi.

"Kita percaya kamera yang dipasang ini jenis mudah didapati dengan harga tidak lebih RM100. Namun kita yakin suspek terbabit belum sempat untuk melihat rakaman itu memandangkan ia tersimpan dalam kad memori yang sudah dirampas untuk siasatan lanjut," katanya.

No comments:

Post a Comment