Friday, August 5, 2011

Insentif Kepada Pelajar STPM Wajar Diberi Awal - Syed Anuar

Gambar Fail - Menteri Besar Menyampaikan Insentif Untuk Pelajar Tingkatan Enam 10 Ogos tahun lalu di Wisma Darul Iman.

Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan) menghargai langkah kerajaan negeri yang terus menyediakan insentif RM1,000 kepada pelajar tingkatan enam, namun menyarankan agar pengagihan dibuat lebih awal.

Setiausaha Agung Gagasan, Syed Anuar Syed Mohamad berkata, pengagihan insentif tersebut wajar dilakukan seawal Februari atau Mac bukannya pada Ogos seperti dilaksanakan sekarang.

Menurutnya, pengagihan lebih awal memberi banyak ruang kepada pelajar untuk merancang perbelanjaan persekolahan mereka menjelang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang bakal diduduki.

"Kita sanjung tinggi usaha kerajaan negeri beri insentif RM1,000 kepada setiap pelajar tingkatan enam, tapi kerajaan kena kaji juga supaya bantuan itu diberi lebih awal.

"Contohnya tahun ini ia diberi pada bulan puasa (Ogos) sedangkan pada 11 Ogos ini, calon STPM akan menduduki peperiksaan percubaan dan masa terlalu suntuk untuk mereka buat persiapan termasuk membeli buku dan bahan rujukan lain," katanya kepada Utusan Malaysia di Kuala Terengganu, semalam.

Beliau mengulas langkah kerajaan negeri memberi insentif RM1,000 kepada lebih 2,000 pelajar tingkatan enam dalam usaha meningkatkan kecemerlangan akademik di Terengganu.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dilaporkan berkata, kesemua pelajar berkenaan dijangka menerima insentif tersebut pada satu majlis yang dijangka diadakan dalam bulan Ramadan ini.

Syed Anuar seterusnya mengingatkan pelajar berkenaan supaya memanfaatkan insentif itu dengan sebaiknya sebagai persediaan menghadapi STPM tidak lama lagi.

Beliau berharap mereka tidak membelanjakan wang tersebut untuk membeli persiapan puasa dan Hari Raya Aidilfitri kerana ia telah menyimpang daripada matlamat asal.

Sejak diperkenalkan pada 2008, seramai 8,486 pelajar tingkatan enam menerima insentif itu daripada kerajaan negeri membabitkan peruntukan RM8.4 juta.

No comments:

Post a Comment