Monday, August 8, 2011

Ahmad Shabery Ingatkan Pemain Bola Sepak Elak Gejala Bookie

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mengingatkan semua pihak yang terlibat termasuk pemain supaya mengharungi kempen Piala Malaysia yang bermula 6 September nanti dengan penuh integriti.

Beliau berkata mereka perlu menghindarkan diri daripada terjebak dengan gejala menjual perlawanan atau bookie demi menjaga maruah bola sepak negara.

"Kita lihat sekarang era kebangkitan bola sepak negara dan ini dapat kita lihat dengan sokongan serta semangat yang ditunjukkan oleh rakyat terhadap pasukan bola sepak tempatan.

"Sehubungan itu, jangan kita cemarkan perlawanan ini dengan aktiviti menjual perlawanan kepada sindiket judi atau bookie kerana ia akan menjejaskan sokongan serta kepercayaan peminat sekaligus mencemar maruah bola sepak negara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama ketika ditemui semasa majlis penyampaian sumbangan dan berbuka puasa dengan penduduk Kemasik di Masjid Jamek Kemasik di Kemaman, petang semalam.

Katanya, Kementerian Belia dan Sukan akan memantau perkara itu dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan termasuk membuat laporan polis sekiranya mendapati terdapat mana-mana pasukan atau pemain terlibat dengan gejala yang tidak bermoral itu.

Ahmad Shabery yang juga Anggota Parlimen Kemaman turut meminta pemain mahupun jurulatih yang didatangi sindiket judi supaya segera membuat laporan polis bagi membolehkan tindakan undang-undang diambil.

"Jangan gadaikan masa depan bola sepak negara semata-mata demi wang dan kepentingan peribadi. Kita perlu teruskan momentum bola sepak negara sehingga ia mampu mencapai ke tahap yang lebih tinggi," katanya.

Sebelum ini, jurulatih Piala Presiden Negeri Sembilan, Yusarman Yusof didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban atas 21 pertuduhan mengatur perlawanan di samping penahanan seorang ahli perniagaan dari Singapura yang dipercayai bookie yang terbabit mengaturkan perlawanan membabitkan pasukan Piala Presiden T-Team musim lalu.

Selain itu jurulatih pasukan bola sepak Piala Presiden T-Team Sufian Ngah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas enam tuduhan memberi rasuah berjumlah RM5,000 kepada enam pemain skuad itu bagi tujuan mengatur keputusan perlawanan menentang pasukan Pahang, tahun lalu.

No comments:

Post a Comment