Wednesday, August 10, 2011

APFT Sasar Kuasai Pasaran Latihan Penerbangan Lebih Besar

Syarikat enyedia latihan dan pendidikan penerbangan, APFT Bhd, menyasarkan penguasaan pasaran lebih besar berikutan langkah beberapa pesaingnya memperlahankan perniagaan mereka.

Dalam tempoh beberapa tahun akan datang, syarikat itu menjangka meraih sekurang-kurangnya separuh daripada bahagian pasaran kerana ia mengambil ramai kadet juruterbang daripada sekolah latihan penerbangan lain, yang mahu meneruskan kursus mereka di akademinya.

Ketika ini, APFT menguasai kira-kira 37.8 peratus pasaran sektor itu. Selain syarikat itu ada tujuh syarikat lain yang menyediakan perkhidmatan sama di Langkawi, Bintulu, Johor Bahru, Ipoh, Melaka, Kuala Terengganu dan Sandakan.

Mengulas mengenai potensi pertumbuhan bagi APFT, Pengerusi Eksekutifnya Datuk Faruk Othman berkata: “Bahagian pasaran kami boleh berkembang kepada sekurang-kurangnya 50 peratus dalam tempoh tiga tahun akan datang.”

Beliau juga mengunjur kenaikan 10 peratus dalam bilangan kadet juruterbang yang dilatih APFT.

“Berikutan perkembangan ini, kami meningkatkan pengambilan kami dan membeli lebih banyak pesawat," katanya dalam temu bual dengan BERNAMA.

Yuran bagi kursus penuh selama 18 bulan ialah RM250,000.

APFT telah membeli dua pesawat yang dijangka dihantar pada Ogos, yang mana ia akan menambahkan jumlah pesawatnya kepada 37.

“Kami juga menyasar mengambil enam lagi tenaga pengajar dan empat pembantu pengajar penerbangan yang dijangka mula bekerja pada 3 Julai," katanya.

APFT juga merancang membeli lebih banyak helikopter, daripada empat ketika ini, kerana ia menjangka pertambahan bilangan pelajar untuk meneruskan latihan helikopter.

Ia juga menjangka memperoleh lesen perkhidmatan penyenggaraan, pembaikan dan baik pulihnya (MRO) pada separuh kedua tahun ini.

“Perniagaan MRO ini bebas cukai. Ia akan membantu meningkatkan pendapatan kami,” katanya.

Syarikat itu juga menubuhkan syarikat perkhidmatan sewa pesawat, APFT Services Sdn Bhd, yang dijangka menawarkan perkhidmatan sewa pesawat bagi penerbangan tidak berjadual pada separuh kedua tahun ini.

Dengan perkembangan positif itu, Faruk berkata syarikat berkenaan yakin dapat mencapai unjurannya bagi tahun kewangan semasa yang berakhir pada 31 Disember, 2011.

APFT, yang disenaraikan di Papan Utama Bursa Malaysia pada 18 Mac, mencatatkan keuntungan bersih RM1.38 juta yang diraih daripada pendapatan RM10.26 juta bagi suku pertamanya yang berakhir pada 31 Mac, 2011.

No comments:

Post a Comment