Wednesday, August 10, 2011

Pendawaian Percuma TNB Untuk 300 Rumah Rakyat Miskin

Dalam usaha memastikan kediaman golongan kurang berupaya di negeri ini selamat diduduki, Tenaga Nasional Berhad (TNB) melaksanakan kerja-kerja pendawaian semula wayar elektrik secara percuma bermula Mei lalu.

Pengurus Besar TNB Negeri Terengganu, Mohd. Yuslan Mohd. Yusof berkata, pihaknya mensasarkan sebanyak 300 buah rumah di seluruh negeri ini akan terlibat di bawah projek berkenaan.

Katanya, sebanyak RM500 diperuntukkan untuk membuat pendawaian semula ke atas setiap rumah tersebut.

"Langkah tersebut merupakan sebahagian daripada khidmat sosial TNB sekali gus dapat meringankan beban mereka yang kurang bernasib baik.

"Kita akan menggunakan sebahagian daripada wang zakat yang dikeluarkan TNB bagi membiayai projek ini," katanya pada sidang akhbar di Majlis Berbuka Puasa Bersama Media di Hotel Primula di Kuala Terengganu, semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya akan mengenal pasti golongan yang layak menerima bantuan tersebut mengikut lapan asnaf yang ditetapkan mengikut syariat Islam.

Katanya, pemohon juga boleh memohon di pejabat TNB terdekat bagi memudahkan mereka dikenal pasti selain pihaknya akan mendapatkan maklumat daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) masing-masing.

Pada majlis yang sama, Mohd. Yuslan turut melancarkan program 'Satu Pekerja Sekampit Beras' yang merupakan program inisiatif TNB negeri itu untuk meringankan beban golongan kurang berkemampuan dengan pekerja TNB digalak menyumbangkan sekampit beras setiap seorang.

Katanya, melalui program berkenaan seramai 1,000 fakir miskin dan anak yatim bakal menerima bantuan berkenaan.

"Jika program ini berjaya kita akan meneruskannya setiap tahun sempena bulan yang mulia ini," katanya.

No comments:

Post a Comment