Friday, August 19, 2011

Bermain Mercun: Kerajaan Diminta Kaji Tambah Hukuman

Dua kanak-kanak Syahir Saifullah Jefri (kanan) dan Ahmad Zakiyuddin Mohd. Nasaruddin dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, Kelantan, kerana cedera bermain mercun, kelmarin.

Saban tahun terdapat kisah sedih sepanjang Ramadan mengenai kanak-kanak yang cedera akibat bermain mercun dan bunga api.

Malah kematian dan kecederaan kekal yang menyebabkan kecacatan seperti buta dan hilang jari sudah banyak dilaporkan, namun bagi segelintir masyarakat ia belum cukup memberi pengajaran.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Maamor Osman mahu kerajaan menambah berat hukuman yang dikenakan kepada pesalah yang memiliki dan mengedar mercun supaya ia menjadi teladan dan menimbulkan keinsafan.

"Jika tidak, negara akan kehilangan potensi sumber manusianya selain kerajaan terpaksa menanggung bebanan kos rawatan dan pemulihan dan bantuan sara hidup bagi yang cacat kekal,” katanya di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau berkata, musim perayaan yang sepatutnya disambut dengan meriah dan ceria bertukar menjadi duka bagi keluarga yang berkenaan.

Tahun ini, Kelantan mencatatkan jumlah mangsa kecederaan akibat mercun yang tertinggi iaitu tujuh orang diikuti masing-masing seorang di Kedah dan Terengganu.

No comments:

Post a Comment