Wednesday, August 17, 2011

BIMB Bina 33 Rumah Golongan Miskin di Manir

Dalam usaha menyalurkan zakat kepada golongan yang berhak, pelbagai cara dilaksanakan oleh Bank Islam (BIMB) termasuk dengan membangunkan rumah kos rendah untuk mereka di beberapa negeri.

Usaha itu dimulakan oleh institusi perbankan itu empat tahun lalu dan terbaru, sebanyak 33 buah rumah bernilai RM30,000 setiap satu dibina di Kampung Banggol Peradong, Manir dekat Kuala Terengganu.

Menurut Pengurus Besar Hubungan Strategik Bank Islam, Datuk Wan Ismail Wan Yusoh, apabila siap sepenuhnya ia akan diserahkan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) untuk pengagihan.

Katanya, pembinaan rumah itu merupakan sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Bank Islam untuk membantu mereka yang memerlukan.

"Bank Islam telah memperuntukan dana zakat dan sebahagian hasil keuntungan RM1 juta setahun untuk melancarkan program CSR yang meliputi pembinaan rumah ini," katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Anak Yatim di Hotel Primula di Kuala Terengganu semalam.

Pada majlis berkenaan seramai 130 orang anak-anak yatim dari dua buah pertubuhan asrama anak yatim iaitu Rumah Anak Yatim Perkaya, Marang dan Darul Falah, Bukit Payung telah diraikan selain turut menerima sumbangan zakat.

Ujar Wan Ismail, pada tahun ini seramai 683 anak yatim serta 113 ibu tunggal dan warga emas dirai sempena bulan mulia ini.

"Sehingga kini kita telah memberi sumbangan wang berjumlah RM147,100 kepada kesemua mereka yang terlibat dalam program ini," katanya.

No comments:

Post a Comment