Tuesday, August 16, 2011

OSK - Pemain O&G Tempatan Dijangka Mendapat Manfaat Dari Cadangan Loji Bio-metionina

OSK Research mengekalkan saranan beli lebih terhadap saham sektor minyak dan gas (O&G) berikutan cadangan pembinaan loji bio-metionina yang pertama di dunia bagi mengeluarkan makanan haiwan di Malaysia.

"Kami berpandangan, walau pun cadangan itu baru pada peringkat awalan kerana pembinaannya hanya akan bermula pada pertengahan 2012, para pemain O&G tempatan, terutama yang terlibat di dalam kerja EPCC dan peralatan proses pengeluaran, masih akan mendapat manfaat limpahannya," kata syarikat penyelidikan itu di dalam nota penyelidikan pelaburannya semalam.

Jumaat lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak mengumumkan Malaysia mendapat satu pelaburan bioteknologi perindustrian RM2 bilion di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) apabila CJ Cheiljedang Corporation dari Korea Selatan dan Arkema SA dari Perancis akan membina satu loji bio-metionina yang pertama di dunia dan platform tiokimia yang pertama di Asia di Zon Ekonomi Khas ECER (SEZ), Taman Polimer Kertih, Terengganu.

Najib yang menyaksikan pengumuman itu berkata, projek itu dijangka menjana kesan limpahan yang signifikan dan menggalakkan aktiviti ekonomi baharu seperti penjanaan wap menggunakan sumber diperbaharui.

Kerajaan Terengganu, menyambut baik pelaburan terbesar dalam bidang bioteknologi itu yang akan menjadi penjana kepada pertumbuhan baharu ekonomi di negeri itu.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata Sabtu lalu, pelaburan terbaru itu sudah pasti membawa impak positif kepada perkembangan ekonomi hiliran di sekitar kawasan berhampiran seperti Kemaman dan Dungun.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada kerajaan pusat dan Perdana Menteri khususnya kerana bersetuju melaksanakan projek kerjasama penting ini yang akan meningkatkan lagi pembangunan ekonomi Terengganu dan ECER secara keseluruhannya.

Najib berkata, projek itu dijangka menjana kira-kira RM20 bilion di segi jualan kumulatif menjelang 2020 dan menyediakan peluang pekerjaan yang besar kepada hampir 500 pekerja berpengetahuan tempatan.

"Projek itu akan menjadi rangsangan yang signifikan kepada ECER dan khususnya SEZ itu,” kata Najib pada majlis pengumuman antara CJ-Arkema, Perbadanan Bioteknologi Malaysia (BiotechCorp) dan Majlis Pembangunan ECER (ECERDC). BiotechCorp dan ECERDC adalah pencadang utama projek itu.

CJ Cheiljedang adalah peneraju pengeluar produk berasaskan penapaian seperti asid amina makanan, monosodium glutamat dan nukleotida dengan mempunyai operasi pengeluaran dan perniagaan global di enam benua manakala Arkema adalah syarikat kimia global dan peneraju pengeluar kimia Perancis.

Operasinya dijangka bermula pada lewat 2013 dengan keupayaan pengeluaran 80,000 tan metrik setahun.

No comments:

Post a Comment