Tuesday, August 16, 2011

Bumbung SK Gong Kapas Bocor Ancam Pelajar

Abdullah Muda menunjukkan serpihan bumbung yang tertanggal dan jatuh ke dalam bilik darjah di sebuah bangunan SK Gong Kapas yang tidak dibaiki sejak 2009.

Tingkat atas salah satu blok bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Gong Kapas di sini yang terpaksa dikosongkan akibat kerosakan bumbungnya lebih dua tahun lalu sehingga kini masih belum dibaiki.

Malah dengan keadaannya yang terbiar begitu sahaja sementara menunggu kelulusan dan peruntukan, keadaannya semakin buruk apabila banyak atap pecah dan air hujan bertakung.

Blok lama itu yang tingkat atasnya menempatkan empat buah kelas untuk murid tahun dua, tiga dan kelas Jawi, al-Quran, Bahasa Arab dan Fardu Ain (j-Qaf).

Aras bawah yang dijadikan dewan untuk majlis perjumpaan serta penyampaian hadiah selain mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) turut berdepan risiko apabila air hujan dari bumbung bocor telah meresap ke lantai konkrit dan pernah berlaku litar pintas.

Berikutan masalah itu, lebih 100 murid tahun dua, tiga dan J-Qaf terpaksa ditempatkan ke kelas lain termasuk di bengkel Kemahiran Hidup (KH) serta muzik di sekolah yang pernah merangkul anugerah Sekolah Cemerlang Peringkat Kebangsaan 2009 itu.

Utusan Malaysia difahamkan, pihak sekolah telah memaklumkan masalah tersebut kepada Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) pada 2009 sebelum pihak jabatan menghantar surat kepada Kementerian Pelajaran pada tahun yang sama.

Bagaimanapun, permohonan daripada JPNT agar masalah itu segera diperbaiki tidak mendapat maklum balas positif daripada Kementerian Pelajaran sehingga sekarang.

Seorang ahli jawatankuasa PIBG sekolah berkenaan, Abdullah Muda, 56, berkata, masalah bumbung rosak itu bukan sahaja mengancam keselamatan pelajar malah turut menjejaskan sesi pembelajaran mereka.

Katanya, lebih 100 murid terlibat terpaksa menumpang di bengkel kemahiran hidup (KH) dan muzik yang tidak kondusif sejak dua tahun lalu.

"Biarlah masalah itu ditangani segera, jangan biar ia berlaku baru kita nak bertindak. Kalau masalah ini dibaiki pada awal lagi (2009) ia tak mungkin seteruk sekarang," ujarnya.

Beliau turut mencadangkan supaya sebuah blok baru di sekolah itu yang kini diserahkan kepada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) beroperasi di situ dijadikan sebagai kelas tetap untuk murid-murid terbabit.

"Bayangkan, murid-murid ini terpaksa berpindah randah dari bengkel KH ke kelas lain sekiranya ada murid lain yang akan menggunakan bengkel ini," jelasnya.

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment