Tuesday, August 16, 2011

Culik Remaja - Polis Besut Minta Kerjasama Orang Ramai Berkas Suspek Ketiga

Polis Besut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek ketiga dalam kes menculik remaja perempuan berumur 15 tahun baru-baru ini atau mengenali suspek supaya segera menghubungi polis di talian 09-6354744 atau 09-6354745.

Ketua Polis Besut, Superintenden Kamaruddin Zakaria polis percaya suspek yang berusia 22 tahun itu adalah perancang kepada penculikan itu.

Polis kelmarin menyerbu rumahnya di Kuala Besut tetapi dia tidak di situ dan polis yakin akan dapat menahannya tidak lama lagi.

Walaupun remaja tersebut berjaya diselamatkan tetapi hakikat bahawa dia masih menerima teks sms daripada penculiknya itu menjadikan seluruh keluarganya di dalam ketakutan.

Kata remaja itu lagi, dia menerima teks sms itu pada jam 5 petang Sabtu.

"Saya tidak membalasnya...," kata remaja tersebut yang turut mengesahkan bahawa dia mengenali suspek menerusi seorang kawan tetapi tidak pernah bertemu sehinggalah hari di mana dia diculik oleh suspek.

Bapa kepada mangsa berkata, hakikat bahawa anak perempuannya masih menerima teks sms daripada suspek menunjukkan suspek seorang yang berani dan berharap pihak berkuasa akan dapat menahannya dengan segera.

Dalam kejadian pada jam 9.15 malam Jumaat lalu, remaja perempuan tersebut sedang membeli sesuatu di sebuah kedai runcit di Kuala Besut apabila dia dipaksa menaiki kereta oleh tiga orang lelaki yang tidak dikenali.

Mangsa telah berjaya diselamatkan dalam satu operasi pada lebih kurang jam 2.30 pagi Sabtu.

Dua daripada tiga penculik itu - seorang berumur 17 tahun dan seorang lagi 25 tahun berjaya diberkas dalam operasi tersebut. Bagaimanapun suspek ketiga tidak berjaya ditahan.

No comments:

Post a Comment