Tuesday, August 9, 2011

Fama Rancang Bina Pasar Komoditi Di Kuala Berang

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) merancang untuk membina sebuah pasar komoditi di Kuala Berang, dalam usaha meningkatkan ekonomi petani di daerah Hulu Terengganu.

Pengarah Fama negeri Hasan Jusoh berkata ini merupakan pasar komoditi ketiga yang dirancang Fama untuk dibina di Terengganu dalam masa terdekat.

“Pasar komoditi di Kuala Berang dicadang akan dibina di Kampung Kuala Ping atas permintaan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri Rozi Mamat,” katanya kepada Bernama, di sini Isnin.

Hasan sebelum itu turut meninjau tapak pasar tani yang dicadangkan untuk pembinaan pasar komoditi di Kuala Ping.

Beliau berkata perkara itu akan dipanjangkan kepada kerajaan negeri untuk mendapat kelulusan tapak.

Katanya dua pasar komoditi lain yang akan dibina ialah di Kerteh, Kemaman, dan di Jalan Budiman, Kuala Terengganu.

Pembinaan pasar komoditi di Kerteh yang bernilai RM4 juta akan bermula bulan depan, sementara di Jalan Budiman yang bernilai RM2 juta akan dilaksana pada November ini.

Kedua-duanya dijangka mampu menempatkan antara 80 dan 120 peniaga, katanya.

Hasan berkata kemungkin Fama mewujudkan pasar komoditi di setiap daerah di negeri ini jika keadaan memerlukan., Komoditi

No comments:

Post a Comment