Tuesday, August 9, 2011

Kesan Kemalangan Nuklear Di Jepun Kepada Malaysia Terus Dipantau

Walaupun Malaysia disahkan selamat daripada sebarang kesan letupan loji nuklear di Fukushima, Jepun, pada Mac lepas, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi masih memantau secara aktif kemalangan itu dan impaknya kepada negara ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata agensi yang terlibat dalam pemantauan itu iaitu Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB), Agensi Nuklear Malaysia dan Jabatan Meteorologi Malaysia mendapati bahawa bacaan masih menunjukkan paras normal dan selamat untuk orang awam.

Dalam satu kenyataan Isnin, beliau berkata AELB, mengikut prosedur operasi standard, memantau secara berterusan tahap radiologikal alam sekitar di seluruh Malaysia melalui Sistem Pemonitoran Radiologi Alam Sekitar (ERMS) di tujuh lokasi seluruh Malaysia iaitu Chuping, Ipoh, Senai, Melaka, Kuantan, Sri Aman dan Kudat.

Ongkili berkata pemantauan rutin melalaui Sistem Pemonitoran Portal (RPM) di empat lapangan terbang antarabangsa Malaysia iaitu Kuala Lumpur, Kota Kinabalu, Pulau Pinang dan Kuching pula tidak mengesan sebarang pencemaran sehingga kini.

Beliau berkata menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, pusat-pusat tindak balas kecemasan persekitaran di bawah Pertubuhan Meteorologi Sedunia meramalkan pergerakan sebarang bahan cemar radioaktif iodin yang terlepas dari loji nuklear Fukushima untuk tempoh sehingga hari ini adalah ke arah utara dan timur laut Pulau Honshu dan menghala ke kawasan Lautan Pasifik Barat.

Katanya sampel air hujan, air laut, air paip dan tanah di beberapa kawasan di seluruh Malaysia menunjukkan tiada pencemaran radioaktif dikesan.

Ongkili berkata AELB juga akan meneruskan pengambilan sampel terutamanya sampel air laut di seluruh Malaysia iaitu di Kota Baharu, Kuala Terengganu, Kuantan, Mersing, Kuching, Labuan dan Kudat pada setiap bulan.

Menurutnya pihak industri yang masih memerlukan pengesahan bebas kontaminasi dibuat ke atas produk (bukan makanan) yang diimport dari Jepun, boleh memohon kepada Agensi Nuklear Malaysia di 03-89251201/019-3877609 (Iberahim Ali) atau 03-89256270/019-3888031 (Dr Zulkifli Hashim)," katanya.

No comments:

Post a Comment