Tuesday, August 9, 2011

Pemandu Jentolak Maut Bila Kereta Dipandu Bertembung Lori

Kegembiraan seorang pemandu jentolak untuk menyambut Aidilfitri dengan kereta barunya tidak kesampaian apabila maut dalam kemalangan di Kilometer 23 Kampung Sungai Ikan, Tepoh di Kuala Terengganu, semalam

Kejadian berlaku pada kira-kira jam 1.10 petang ketika mangsa, Abdullah Tahir, 55, dari Kampung Tanjung Baru, Kuala Berang yang memandu Honda Civic dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Basung, Hulu Terengganu menghala ke Kuala Terengganu.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Zamri Shamsuddin berkata, mangsa dipercayai memandu dalam keadaan mengantuk dan apabila sampai di tempat kejadian kereta mangsa memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah lori.

Zamri berkata pemandu lori berkenaan tidak cedera, manakala mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu untuk bedah siasat.

Mangsa difahamkan baru seminggu membeli keretanya itu dengan mengeluarkan simpanan dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Pihak Bomba dan Penyelamat mengambil masa 15 minit untuk mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit di bahagian pemandu.

No comments:

Post a Comment