Thursday, August 18, 2011

Kubah Masjid Kampung Pagar Ubi Tepoh Bocor 10 Tahun?

Nilai RM2,000 yang disumbangkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) kepada Masjid Kampung Pagar Ubi memberi sinar baru kepada rumah ibadat itu.

Pengerusi Jawatankuasa Masjid, Zakaria Mohd Ali berkata, wang yang disumbangkan itu akan diguna sebaik mungkin terutama untuk membaiki kebocoran kubah masjid hampir 10 tahun.

“Sepanjang 10 tahun, masjid ini berkeadaan demikian, dan apabila hujan, terpaksa meletakkan besen atau baldi bagi mengelak kawasan sekelilingnya basah.

“Walaupun nilai RM2,000 masih tidak mencukupi untuk melakukan kerja-kerja membaiki kubah masjid yang bocor, tetapi kami tetap bersyukur kerana sekurang-kurangnya dapat melakukan sedikit pembaharuan,” katanya sempena Ihya Ramadan TNB Peringkat Negeri Terengganu yang diadakan di masjid itu.

Menurutnya, walaupun berlaku kebocoran di dalam masjid itu, ia tidak menghalang jemaah untuk melakukan ibadat dan program berbentuk agama kerana hanya sebahagian kecil mengalami masalah bocor.

“Kalau dikira saf jemaah, lebih kurang lima atau enam orang terpaksa berundur jika hari hujan,” katanya.

Beliau berharap, mana-mana pihak yang ingin membantu menyelesaikan masalah itu, dapat berbuat demikian supaya rumah Allah yang mampu memuatkan 1,000 jemaah itu berada dalam keadaan sempurna.

Sementara itu, Naib Presiden Pembahagian TNB, Hussin Othman berkata, program berkenaan diadakan sebagai langkah pihaknya mendampingi rakyat terutama di Kampung Pagar Ubi, Tepoh.

“Ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial pihak TNB,” katanya.

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment