Thursday, August 25, 2011

Kuota Haji Malaysia Ditambah Kepada 28,000

Kuota jemaah haji dari negara ini dinaikkan kepada 28,000 pada tahun ini, berbanding 26,000 sebelum ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata Malaysia mengemukakan permohonan untuk menambah kuota itu kepada Menteri Haji dan Wakaf Arab Saudi dalam mesyuarat yang lalu dan ia diluluskan berdasarkan pertambahan rakyat di negara ini.

"Pada masa yang sama kita juga sedang memohon kuota tambahan bagi membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia menunaikan haji," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran projek Kompleks Pentadbiran Islam Putrajaya, di Presint 3, di Putrajaya, semalam.

Dari segi kos, Jamil Khir berkata tiada sebarang pertambahan dan ia kekal RM9,980.

Pada masa ini, lebih 400,000 daripada 5.7 juta pendeposit Tabung Haji layak untuk menunaikan ibadah itu berdasarkan jumlah simpanan yang mencukupi.

Mengenai kompleks bernilai RM400 juta dan bakal siap Ogos 2014 itu, Jamil Khir berkata ia akan menjadi pusat perkhidmatan setempat bagi perkara berkaitan hal ehwal Islam, di mana lapan agensi yang sebelum ini berada di beberapa tempat berlainan di sekitar Putrajaya dan Kuala Lumpur akan ditempatkan di situ termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR).

Beliau berkata, agensi lain adalah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) cawangan Putrajaya, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM).

Selain menjadi mercu tanda kebanggaan umat Islam di negara ini, bangunan ini juga dibina bagi menambahbaik sistem penyampaian agensi berkaitan hal ehwal Islam.

Malah ia turut memberi kemudahan kepada orang ramai di mana mereka tidak perlu lagi pergi ke tempat-tempat yang berlainan untuk urusan-urusan dan aktiviti keagamaan.

Dibina di atas tanah seluas 5.49 ekar bersebelahan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini, kompleks yang merangkumi empat blok itu akan membawa elemen seni bina Islam klasik seperti gerbang, kasa, taman dan air serta menepati 'green building index' serta mempunyai pelbagai ciri mesra alam dan penjimatan tenaga.

Dengan pendekatan perkongsian pintar, kompleks itu adalah satu pelaburan oleh Lembaga Tabung Haji untuk disewakan kepada jabatan-jabatan dan agensi Islam berkenaan.

No comments:

Post a Comment