Thursday, August 25, 2011

Pegawai Pantau Harga Peniaga Diletakkan Di Beberapa Lokasi

Kesemua peniaga diingatkan supaya tidak menaikkan harga sesuka hati sempena musim perayaan ini kerana ramai pegawai pemantau harga akan ditempatkan di beberapa lokasi perniagaan bagi memastikan peniaga mematuhi penetapan harga siling yang diputuskan kerajaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr. A. Rahman Mokhtar memberitahu, jumlah itu dipecahkan kepada daerah-daerah bagi memastikan pemantauan dapat dijalankan secara menyeluruh.

"Adalah penting membuat pemantauan kerana kita bimbang ada peniaga akan sesuka hati menaikkan harga barangan dan menindas pengguna disebabkan peningkatan permintaan pada setiap musim perayaan.

"Peniaga yang didapati menaikkan harga sesuka hati akan dikenakan tindakan serta-merta termasuk menarik balik lesen perniagaan mereka dan kita tidak akan berkompromi dalam hal ini," katanya.

Beliau ditemui sempena lawatan dan pemeriksaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) di pasar raya Giant di Kuala Terengganu, semalam.

Jelasnya, terdapat 19 jenis barangan keperluan yang harganya dikawal dan pihaknya berharap bekalan yang disediakan akan mencukupi sehingga raya nanti.

Sementara itu, Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi Terengganu, Ghazali Muhammad memberitahu, bekalan cukup untuk musim perayaan.

"Setakat ini kita belum menerima apa-apa aduan lagi tetapi jika ada masalah kita akan cuba selesaikan dan pastikan semua barang keperluan mencukupi," katanya.

Kosmo!

No comments:

Post a Comment