Friday, August 12, 2011

Ladang Rakyat Serah Zakat Kepada MAIDAM Sebanyak RM521,708

Ladang Rakyat Terengganu Sdn. Bhd., syarikat milik kerajaan negeri petang kelmarin mengeluarkan zakat perniagaan sebanyak RM521,708 yang diserahkan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) Terengganu.

Penyerahan cek zakat itu disempurnakan oleh Pengerusinya, Wan Ahmad Nizam Wan Abd. Hamid melalui Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Wan Harujan Sulaiman di Wisma Darul Iman di Kuala Terengganu.

Ia disaksikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah dan Pengurus Besar Ladang Rakyat Terengganu Sdn. Bhd., Abd. Rahman Mad Shah.

Menteri Besar berkata bayaran zakat itu dibayar berdasarkan keuntungan bersih yang diperoleh sebelum cukai berjumlah RM33.59 juta.

Katanya, keuntungan bersih ini adalah yang tertinggi pernah dicatatkan syarikat itu sejak penubuhannya pada 2 Ogos 1977.

“Aktiviti utama syarikat adalah perladangan dan pemprosesan kilang sawit membabitkan tiga kawasan iaitu Cheneh Kemaman; Lembah Bidong, Setiu dan Marang atau kawasan seluas 8,000 hektar.

“Melalui aktiviti itu, Ladang Rakyat mampu menyediakan 1,200 peluang pekerjaan di pelbagai sektor,” katanya kepada pemberita.

Wan Ahmad Nizam berkata, jumlah bayaran zakat itu dibuat bagi tahun kewangan 2010 yang meningkat sebanyak RM362,175 daripada jumlah zakat tahun sebelumnya.

Katanya, bagi tahun kewangan 2011, prestasi syarikat menunjukkan kemajuan dengan keuntungan bersih sebelum cukai sebanyak RM23.58 juta dan jumlah itu melebihi RM11 juta atau 86 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

"Bagi tahun berakhir 31 Disember 2010, syarikat mencatat keuntungan bersih sebelum cukai berjumlah RM33.59 juta berbanding RM12.97 juta pada 2009.

"Untuk tahun ini pula, sasaran kita adalah memperoleh keuntungan RM50 juta," katanya.
Ladang Rakyat Terengganu Sdn. Bhd. ditubuhkan pada 2 Ogos 1977 dengan modal RM35 juta selain modal berbayar RM24.58 juta.

Wan Ahmad Nizam berkata, pihaknya akan terus mencari ruang dan peluang untuk mengembangkan lagi perniagaan untuk terus menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri.

“Sebanyak RM50 juta keuntungan bersih dijangka diperoleh sekiranya harga pasaran kelapa sawit berada dalam keadaan stabil dan memberangsangkan,” katanya.

No comments:

Post a Comment