Friday, August 12, 2011

Terengganu Pinjam Pemain Harimau Muda Hadapi Piala Malaysia

Pemain pertahanan Harimau Muda, Faizal Mohamad dipinjam kepada Terengganu bagi menghadapi kempen Piala Malaysia.

Penolong Pengurus pasukan Terengganu, Sheikh Tajudin Sheikh Yusof berkata Faizal yang berasal dari Marang merupakan pemain tunggal yang dipinjam Terengganu.

"Untuk pertandingan Piala Malaysia, kita cuma pinjam seorang pemain pasukan Harimau Muda bagi memastikan kecemerlangan kita dalam kejohanan itu," katanya kepada Bernama.

Beliau percaya barisan pertahanan Terengganu akan bertambah kental dengan kehadiran pemain tersebut.

"Faizal mula berlatih sejak semalam bersama-sama pemain yang lain," katanya yang juga Naib Yang Dipertua Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT).

Sheikh Tajudin juga berkata walaupun pemain pertahanan Mohd Zubir Azmi tidak dapat bersama Terengganu dalam empat perlawanan awal, ia tidak membimbangkan kerana ada pengganti kepada pemain itu.

Mohd Zubir terpaksa menjalani latihan bersama pasukan kebangsaan bagi persediaan menghadapi Sukan Olimpik.

Terengganu, Negeri Sembilan, PKNS dan Sime Darby diletakkan dalam kumpulan B dengan dua pasukan teratas akan layak kepusingan suku akhir Piala Malaysia.

Sheikh Tajudin berkata semua pasukan mempunyai kekuatan masing-masing dan Terengganu tidak memandang rendah keupayaan pasukan lain.

Terengganu menjalani latihan pada setiap petang di padang Sekolah Menengah Sultan Sulaiman Batu Buruk di sini berikutan padang Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah tidak boleh digunakan kerana sedang menjalani proses baik pulih.

No comments:

Post a Comment