Sunday, August 7, 2011

Lelaki Pura-pura Pinjam Cangkul Untuk Samun Rantai Warga Emas

Seorang lelaki berpura-pura ingin meminjam cangkul sebelum bertindak menyamun seutas rantai emas daripada seorang warga emas dalam kejadian di Kampung Air Putih Kerandang, dekatJerteh, Khamis.

Ketua Polis Daerah Besut Supt Kamaruddin Zakaria berkata dalam kejadian kira-kira 9 pagi, mangsa yang berumur 87 tahun dan tinggal bersendirian ketika itu didatangi seorang lelaki yang dikenalinya dengan alasan untuk meminjam cangkul.

“Setelah mangsa memberitahu dia tidak mempunyai cangkul, suspek yang berusia 24 tahun dari Kampung Tanah Merah Keradang berpura-pura beredar, namun selepas itu berpatah balik dan menerkam mangsa sebelum meragut rantai lehernya yang bernilai RM7,000,” katanya ketika ditemui pemberita diBesut, kelmarin.

Beliau berkata mangsa kemudian menjerit meminta tolong dan jeritannya itu didengari oleh jiran-jiran berhampiran sebelum mereka bertindak mengejar serta menahan suspek yang merupakan penagih dadah.

Katanya suspek diserahkan kepada polis bersama rantai emas yang disamun bagi membantu siasatan. Ujian air kencing mendapati suspek positif dadah.

Sehubungan itu, Kamaruddin mengingatkan suri rumah supaya sentiasa berwaspada apabila didatangi orang yang meragukan kerana telah terdapat tiga kes yang sama dalam tempoh sebulan apabila penyamun menyasarkan suri rumah yang tinggal berseorangan ketika penghuni lain keluar bekerja.

No comments:

Post a Comment