Sunday, August 7, 2011

Tiket Bas Dan Kereta Api ke Pantai Timur Habis Dijual

Tiket perkhidmatan kereta api ke negeri-negeri pantai timur sempena musim Aidilfitri tahun ini telah habis dijual manakala ke utara dan selatan masih boleh didapati.

Pengurus Kanan Komunikasi Korporat Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Mohd Fazil Ismail berkata bagi musim perayaan ini KTMB telah menyediakan sebanyak 124,608 tiket ke pantai timur, utara dan selatan.

Katanya KTMB bercadang untuk menambahkan tiga gerabak kereta api yang sedang dibaikpulih dan akan memaklumkan kepada orang ramai pada minggu hadapan mengenai perjalanan mana gerabak ini akan digunakan.

Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati tiket ke Kuala Terengganu oleh perkhidmatan Bas Mara Liner di Hentian Putra di Kuala Terengganu, habis dijual sejak minggu lepas.

Penjual tiket Anita Abu, 44, berkata orang ramai telah membeli tiket sejak akhir Julai lepas ke Kuala Terengganu dan bagi keselamatan orang ramai pihak Mara Liner telah membuat persediaan dengan memasang Global Positioning System (GPS) dalam bas.

"Bagi keselamatan penumpang, setiap bas akan dipasang GPS bagi memantau pemandu kami jika mereka memandu melebihi had laju yang telah ditentukan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)," katanya.

Penjual tiket syarikat Adik Beradik Ekspress, Siti Zubaidah Ismail, 26, berkata orang ramai telah mula membeli tiket bas ke Kelantan sejak 26 Julai lepas dan pihaknya tidak bercadang menyediakan bas tambahan walaupun kini tiket sudah habis dijual.

Sementara itu, penjualan tiket di Perhentian Bas Jalan Duta, di Kuala Lumpur, juga laris bagi perjalanan ke destinasi utara sejak minggu lepas.

Penjual tiket Sani Ekspress, Nurul Hidayah Zulkifli, 19, berkata tiket perjalanan ke utara pada 26 sehingga 28 Ogos ini laris dijual sejak seminggu sebelum bulan Ramadan.

Penjual tiket perkhidmatan Bas Mara Liner ke utara, Mohd Sobri Mohd Shahid, 25, berkata penjualan tiket sangat menggalakkan sejak minggu lepas lagi.

"Tiket pada 25 sehingga 27 Ogos ini telah habis dijual manakala pada 28 dan 29 Ogos ini hanya ada untuk tempat tertentu sahaja iaitu perjalanan ke Pendang, Kuala Nerang dan Sungai Petani, Kedah.

Bagaimanapun, penjual tiket Pancaran Matahari Ekspress di Hentian Jalan Duta, Hanizah Rafian, 46, berkata orang ramai masih boleh mendapatkan tiket perjalanan ke utara di kaunter mereka.

Di Hentian Puduraya, Pengurus Bas Konsortium Ekspress, Cawangan Kuala Lumpur, Chia Nyi Foo berkata hampir 90 peratus tiket bagi perjalanan ke Taiping, Johor Baharu dan Perlis habis dijual.

"Sejak 11 Julai lepas, orang ramai telah mula membeli tiket...kami akan sediakan bas tambahan dengan menggunakan bas Konsortium sendiri bagi keselamatan penumpang.

"Konsortium mengambil langkah keselamatan seperti memasang GPS di dalam bas bagi memantau had kelajuan pemandu dan jika didapati melanggar had laju, gaji mereka akan dipotong," katanya.

No comments:

Post a Comment