Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) sedang mempergiat usaha bagi menggalak pengguna jalan raya yang melanggar peraturan letak kereta dan trafik tampil melangsaikan saman mereka.
Setiausaha MBKT, Haji Samiun Salleh berkata, selain memberi tawaran diskaun pada tempoh tertentu, pihaknya turut membuka kaunter pembayaran saman di kawasan tumpuan orang ramai seperti hentian pengangkutan awam dan pasar raya.
Katanya, hampir 10,000 saman dan kompaun berkaitan kesalahan itu dikeluarkan setiap bulan, tetapi hanya separuh saja yang menyelesaikannya.
"Daripada aduan yang kita terima, kebanyakkan mereka tidak ada masa yang sesuai untuk tujuan itu hingga menyebabkan saman itu tertunggak dalam tempoh yang lama," katanya ketika dihubungi Teganukita di Kuala Terengganu, baru-baru ini.
Tambah Samiun, MBKT menyasarkan kutipan tempat letak kenderaan termasuk pembayaran saman sebanyak RM5.5 juta menjelang hujung tahun ini iaitu pertambahan RM1.5 juta berbanding tahun lalu.
Menurutnya, pertambahan hasil itu bagi membolehkan lebih banyak kemudahan disediakan untuk kelselesaan warga bandar serta menampung perbelanjaan penyelengggaraan yang semakin meningkat saban tahun.
Sementara itu katanya, MBKT menyediakan 1,000 petak parkir baru pada tahun ini iaitu 500 petak di Pulau Warisan, 300 petak di Kampung Cina dan selebihnya di Jalan Batas Baru yang menggunakan sistem letak kenderaan automatik bertingkat.
Mengenai tempat letak kenderaan automatik yang dikatakan kurang mendapat sambutan, Samiun memberitahu, perkara itu adalah biasa kerana apabila teknologi baru mula diperkenalkan, ia agak asing kepada pengguna tempatan.
"Walaupun ada yang meragui tahap keselamatan serta cara pengendalian parkir automatik itu, kita yakin hal itu tidak berlarutan dalam tempoh yang lama kerana pengguna perlukan masa untuk berasa yakin dengan kemudahan itu.
"Namun begitu, pihak MBKT turut menjalankan promosi penggunaan parkir itu kepada pengguna di premis perniagaan, bank serta pejabat kerajaan sekitar kawasan berkenaan," ujarnya.
Unit Komunikasi Negeri
No comments:
Post a Comment