Baru lima hari dua beradik cedera diragut di Terengganu, kisah hampir sama berlaku semalam, apabila dua lagi beradik menjadi mangsa ragut lelaki bermotosikal di bulatan Kampung Kota, dekat Kota Bharu.
Kejadian pukul 8.30 pagi itu berlaku ketika kedua-duanya dalam perjalanan untuk menjalani latihan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan sebuah syarikat perunding.
Mangsa Siti Farizat Mustapha, 22, cedera dan terpaksa dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HPRZ II) manakala kakaknya, Siti Sariza, 23, menerima rawatan sebagai pesakit luar.
Siti Sariza berkata, ketika kejadian, dia dan adiknya yang dalam perjalanan dengan motosikal tiba-tiba dihampiri dua lelaki juga bermotosikal yang dengan pantas meragut beg tangannya.
"Selepas diragut, saya gagal untuk mengawal motosikal sehingga menyebabkan kami berdua terjatuh dan adik saya tersungkur," ketika ditemui pemberita di wad kecemasan HRPZ II semalam.
Siti Sariza ialah pelatih di RTM di Wakaf Che Yeh manakala adiknya yang juga penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) sedang membuat latihan praktikum di sebuah syarikat perunding di Telipot.
Dalam kejadian di Kuala Terengganu, 30 Julai lalu, dua beradik cedera dalam nahas ketika mengejar peragut di sini. Mangsa, Maleha Malik, 24, hampir putus tangan kanan manakala adiknya, Maizatul Akmal, 23, pula koma di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
Siti Sariza yang juga pelajar tahun akhir Universiti Utara Malaysia memberitahu, ekoran kejadian itu dia kehilangan wang tunai RM120, dokumen penting seperti kad pengenalan, kad bank dan telefon bimbit.
Sementara itu, adik mangsa Siti Farizat berkata, kejadian tersebut berlaku dengan pantas.
"Apa yang saya ingat, kakak menjerit dan meminta saya memberhentikan motosikal. Lepas itu saya tak ingat apa yang berlaku.
"Sedar-sedar saya sudah berada di dalam ambulans," ujarnya yang mengalami kecederaan di muka, tangan dan lulut serta sakit pada bahagian kepala.
Dalam pada itu, Ketua Balai Polis Kota Bharu Asisten Komisioner Azham Othman ketika dihubungi semalam mengesahkan menerima laporan berhubung kes tersebut.
No comments:
Post a Comment