Friday, August 26, 2011

Nilai Jualan Pasar Tani Di Terengganu Meningkat

Nilai jualan 14 buah pasar tani Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) di seluruh Terengganu sehingga Julai lalu meningkat kepada RM13 juta berbanding RM11 juta dalam tempoh sama tahun lepas.

Pengarah Kanan Pembangunan Usahawan Fama, Razak Majid berkata nilai jualan itu menggambarkan bahawa pasar tani di negeri itu sedang berkembang dan meningkat maju.

"Nilai keseluruhan jualan pasar tani di Terengganu tahun ini dijangka meningkat kepada RM22 juta berbanding RM20 juta tahun lepas," katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran Pasar Tani Khas Pra Aidilfitri di Kuala Terengganu semalam. Pengarah Fama negeri Hasan Jusoh turut hadir pada majlis itu.

Dalam perkembangan lain Razak berkata Fama mengimport 712.84 metrik tan kelapa ke Terengganu dengan nilai lebih RM792,000 sehingga 15 Ogos lepas dan akan terus mengimport jika perlu.

Selain untuk menghadapi musim perayaan, langkah Fama itu juga bertujuan mengatasi masalah kekurangan kelapa yang berlaku di Terengganu baru-baru ini, katanya.

Sementara itu, Hasan berkata nilai jualan Pasar Tani Khas Pra Aidilfitri ini dijangka meningkat kepada RM150,000 sehari berbanding RM80,000 pada hari-hari biasa.

Sempena Aidilfitri ini, Fama mewujudkan tiga buah pasar tani khas di Terengganu iaitu di Padang Hiliran di sini, Kerteh, Kemaman dan Alor Lintang, Besut.

Hasan berkata Fama merancang melahirkan 1,200 usahawan pasar tani di Terengganu sehingga menjelang akhir tahun ini. Setakat ini, terdapat 950 usahawan pasar tani.

Bagi merealisasikan impian itu, Fama akan membuka lima buah lagi pasar tani di Terengganu tahun ini yang akan melibatkan 250 usahawan, katanya.

Pasar tani berkenaan ialah di Cukai, Kemaman, Kuala Telemong (Hulu Terengganu), Gong Badak (Kuala Terengganu), Pulau Serai dan Kuala Dungun, masing-masing di Dungun.

No comments:

Post a Comment