Tuesday, August 16, 2011

Nurussyahamah Sedia Wakili Malaysia Ke Tilawah Al-Quran Kanak-Kanak Dunia

Wakil Malaysia ke Tilawah Al-Quran Kanak-Kanak Peringkat Antarabangsa di Doha, Qatar, Nurussyahamah Taqiah Nurunnajmi, 12, bersedia menghadapi pertandingan peringkat akhir yang akan diadakan pada 26 Ogos ini.

Beliau yang merupakan pelajar Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Lubok Kawah, Jerteh terpilih antara tiga peserta ke peringkat akhir pertandingan itu selain peserta dari Yemen dan Maghribi setelah menjalani pertandingan peringkat separuh akhir di Doha pada 22 Jun lalu.

Pertandingan anjuran Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Islam Qatar dan saluran TV Kanak-Kanak Al Jazeera sebelum itu telah menguji seramai 4,000 kanak-kanak dari seluruh dunia termasuk 49 dari Malaysia dan daripada jumlah itu seramai 63 terpilih ke peringkat separuh akhir yang diadakan di Doha pada 22 hingga 28 Jun lalu.

Pertandingan akhir itu dijangka akan disiarkan secara langsung oleh TV Al Jazeera Saluran Kanak-Kanak yang boleh diikuti oleh rakyat Malaysia.

Ayah Nurussyahamah, Nurunnajmi Yaacob, 40, memberitahu Bernama di sini, Isnin, beliau bersama anaknya akan berlepas ke Doha pada 24 Ogos melalui penerbangan dari Kuala Lumpur yang ditaja oleh kerajaan Qatar.

Katanya Nurussyahamah kini menjalani latihan siang dan malam dalam memastikan kemenangan supaya dapat mengangkat nama negara dalam pertandingan yang diadakan buat julung kali itu.

"Bagi memastikan beliau cukup bertenaga kami bekalkan Nurussyahamah dengan makanan tambahan seperti meminum madu dan air sarang burung layang-layang," kata Nurunnajmi yang merupakan seorang guru agama di Sekolah Kebangsaan Seri Payong, Hulu Besut yang juga bertindak sebagai jurulatih kepada anaknya itu.

Menurutnya buat masa ini anaknya itu memang bersedia tetapi beliau agak khuatir kerana Nurussyahamah didapati kurang bertenaga sedikit kerana menjalani ibadat puasa.

Katanya Nurussyahamah meminati Al-Quran sejak kecil dan telah mula membaca kitab suci itu sejak berumur empat tahun.

Beliau pernah menjadi johan membaca Al-Quran J-Qaf peringkat negeri pada tahun 2007 dan 2008 serta tiga kali mewakili negeri Terengganu ke pertandingan peringkat kebangsaan sekolah-sekolah Malaysia dan pernah menjadi naib johan pertandingan itu.

Nurunnajmi turut berharap umat Islam di negara ini mendoakan kejayaan Nurussyahamah supaya nama Malaysia dikenali sebagai sebuah negara yang hebat dalam mengeluarkan pembaca Al-Quran terbaik di kalangan generasi muda.

No comments:

Post a Comment