Tuesday, August 16, 2011

Pengusaha keropok lekor Terengganu Diminta Mohon Sijil Halal JHEAT

Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) meminta semua pengusaha keropok lekor di negeri itu memohon sijil halal daripada pihaknya bagi membantu perniagaan mereka pada masa kini dan akan datang.

Pesuruhjayanya Mohd Rozali Saleh berkata kini JHEAT sedang menyebarluaskan penggunaan sijil halal bukan sahaja kepada pengusaha keropok tetapi juga kepada hotel, restoran dan industri di negeri itu.

"Kita harap semua pengusaha berkenaan memohon dan JHEAT akan mempermudahkan mereka mendapat sijil halal," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan sijil pengesahan dan logo halal Malaysia, di Kuala Terengganu, semalam

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Pengurusan & Transformasi)Mampu merangkap Timbalan Pengerusi Focus Group Pengurusan Pensijilan Halal (FGPPH) Dr Mazlan Yusoff.

Dalam hal ini, beliau berkata Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) boleh memainkan peranan dan membantu usahawan keropok untuk mendapatkan sijil halal.

Mengenai hotel pula, Mohd Rozali berkata sehingga kini 12 buah hotel dan chalet atau kira-kira 10 peratus daripada hotel dan chalet di Terengganu telah diberikan sijil halal oleh JHEAT.

"Hotel atau chalet yang diberi sijil halal ini masih kecil kalau dibandingkan dengan hotel atau chalet yang ada di Terengganu," katanya.

No comments:

Post a Comment