Tuesday, August 9, 2011

Pakej Umrah Anjuran Kerajaan Terengganu Dapat Sambutan Baik

Muhd Ramli menyambut kepulangan peserta pakej umrah anjuran Kerajaan Negeri di LTSM semalam. - Gambar Harith Fadzilah

Langkah kerajaan Terengganu menganjurkan pakej umrah ke tanah suci mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai.

Kumpulan pertama yang membawa seramai 450 peserta umrah dengan penerbangan terus dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) ke Madinah pada 29 Julai lepas, selamat kembali ke tanah air semalam.

Seorang warga emas Kalthom Mohd, 69, yang berasal dari Jertih, Besut ketika ditemui di LTSM di sini berkata, beliau bersama keluarganya seramai sembilan orang merasa amat selesa mengerjakan umrah pada program pertama itu.

"Selain keselesaan yang disediakan, semasa di sana kami juga disajikan dengan makanan ala Terengganu yang tidak menjemukan," katanya yang sudah tiga kali mengerjakan ibadah haji.

Cucunya Tuan Nor Alia Najwa Tuan Adnan, 11, pula berkata, beliau dapat menjalankan ibadah puasa dan mengerjakan umrah dengan baik semasa berada di tanah suci.

Pelajar Sekolah Kebangsaan Pusat Bukit Besar yang pergi bersama ayah, ibu serta neneknya itu berharap beliau akan dapat menunaikan umrah sekali jika diizinkan.

"Semasa saya di sana, saya tidak menghadapi sebarang masalah terutama dari segi makan kerana makanan yang disediakanpun adalah makanan Terengganu," katanya.

Seorang lagi peserta Zainab Hamzah, 37, yang berasal dari Kampung Cacar, Paka, Dungun yang menghidap barah lidah sejak setahun lalu, dapat mengerjakan umrah dengan sempurna walaupun sakit.

Beliau yang dibantu ibunya Dara Mohd, 72, yang pergi bersama rombongan itu merasa puas hati dengan layanan yang diberikan.

"Mak Cik bersyukur kerana anak makcik walaupun dia uzur, namun dia dapat mengerjakan umrah dan menjalankan ibadah puasa dengan baik serta dapat berubat di sana," katanya.

Sementara itu Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerbangan Negeri Muhamad Ramli Nuh ketika menyambut ketibaan rombongan berkata, pakej umrah yang dianjurkan kerajaan negeri itu mendapat sambutan baik daripada orang ramai.

No comments:

Post a Comment