Friday, August 12, 2011

PAS Bawa 'Penyakit' Lalat Hijau' Sebar Dakwaan Palsu

'Penyakit Lalat Hijau' istilah yang ditujukan kepada PAS oleh Menteri Besar pada sidang media di Kemaman, semalam. - Gambar Harith Fadzillah

PAS Terengganu diibaratkan seperti 'lalat hijau' yang sering membawa penyakit kepada masyarakat berikutan sikap pemimpin parti itu yang sering menghamburkan dakwaan palsu dan tidak berasas.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, setelah usaha mereka mahu memburukkan kepimpinan Barisan Nasional tidak berkesan, pemimpin parti itu kini sedang sibuk 'membedil' Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) kerana tidak mengikut kehendak mereka.

Katanya, selain menuduh SPR berkomplot dengan Barisan Nasional untuk menafikan kemaraan politik mereka, PAS dalam masa yang sama bertukar topeng dengan membawa masuk ramai pendundi luar Terengganu bagi mengukuhkan kedudukan mereka.

“Mereka bising, ramai pengundi luar Terengganu yang dikatakan menjadi 'pengundi hantu' berdaftar sebagai pemilih di negeri ini.

Padahal PAS sebenarnya terlebih dahulu membawa masuk orang luar untuk mempertahankan kubu mereka.

“Contohnya di DUN Rhu Rendang, kita dapati lebih 1,200 pengundi luar Terengganu tidak dapat dikesan kerana mereka bukan orang tempatan.

Bila pilihanraya, mereka datang untuk mengundi bagi menjaga aib Presiden mereka daripada tersungkur di kubu sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pembahagian Dana Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal di Dewan Ketengah, Seri Bandi, Kemaman, semalam. Turut hadir, Pengarah Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT), Haji Roshali Taha.

Mengenai kedudukan bangsa berketurunan Myanmar yang didaftarkan sebagai pemilih kata Ahmad Said, berkata pemimpin PAS tidak perlu memutar belitkan isu berkenaan kerana mereka sudah lebih 20 tahun bermastautin di negeri ini.

“Saya belum menjadi wakil rakyat, mereka (bangsa keturunan Myanmar) sudah ada di sini. Kenapa tidak dibangkitkan pada tahun 1990 atau tahun 1995? Ketika PAS menang tahun 1999, kenapa mereka tidak bangkitkan isu ini,” soal Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal itu.

Dalam pada itu, beliau mendedahkan, sebanyak 979 pengundi yang tidak bermastautin di DUN Kijal, mendaftarkan diri sebagai pemilih di kawasan berkenaan.

“Kita di UMNO Kemaman ada rekod. Terdapat taktik menggunakan lot tanah yang dibeli di kawasan ini untuk dijadikan alamat daftar mengundi. Apabila kita semak, ada pengundi didaftar dalam hutan kerana tanah mereka dalam hutan,” dedah Ahmad.

Unit Komunikasi Negeri

No comments:

Post a Comment