Friday, August 12, 2011

Ragam Ramadan, Ragam Bulan Merdeka di Tepoh, Paya Berenjut

Macam-macam ragam pada bulan Ramadan. Apa lagi kali ini Ramadan disambut beriringan dengan bulan Merdeka.

Sebagai memeriahkan majlis berbuka puasa, acara tradisi ditunjukkan oleh penduduk kampung dengan cara dan gaya mereke sendiri.

Bagi penduduk Kampung Paya Berenjut, Kemaman, mereka berarak sambil menjunjung talam berisi juadah berbuka puasa yang ditutup dengan tudung saji yang dihiasi Jalur Gemilang.

Acara untuk berbuka puasa beramai-ramai itu diadakan pada Program Kembara Ramadan Jalur Gemilang di Masjid Paya Berenjut, Kemaman, Terengganu.

Tradisi menjunjung lauk dari rumah ke masjid masih diamalkan oleh penduduk Kampung Gemuroh, Tepoh, pada bulan Ramadan.

Sementara itu, di Masjid Kampung Gemuruh, Tepoh, petang kelmarin, tradisi menjunjung lauk dari rumah-rumah ke masjid yang semakin hilang dimamah zaman, dihidupkan kembali.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kampung itu, Amran Abdullah berkata, ia bukan rutin tahunan mereka setiap kali tibanya bulan Ramadan.

Tetapi katanya, dek kerana kampung itu mahu dikunjungi ramai pemimpin negeri termasuk Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, penduduk di situ bersepakat untuk menjadikan majlis berbuka puasa itu, bukan acara biasa.

“Kami tidak mahu cara memasak gotong-royong diadakan seperti yang biasa dilakukan pada tahun-tahun sebelumnya, tetapi ia perlu dimasak sendiri oleh orang kampung di rumah mereka.

“Dengan cara ini, setiap masyarakat menghantar juadah ke masjid dengan menunya yang pelbagai dan membuatkan semua orang dapat merasa air tangan orang kampung yang diakui memecah liur,” katanya.

Amran ditemui pemberita pada majlis berbuka puasa peringkat Daerah Kuala Terengganu yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri Tepoh, Ustaz Haji Muhammad Ramli Nuh dan Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Haji Wan Nawawi Wan Ismail.

Simbolik menyambut ketibaan Menteri Besar dan kenamaan lain, seramai 15 wanita menjunjung talam dengan pelbagai jenis lauk berarak sambil berselawat mengiringi mereka hingga ke meja makan.

Jelasnya, majlis yang penuh adat dan cara tradisional itu melibatkan lebih 100 hidangan lauk tradisional dan kuih muih yang dimasak di rumah mengikut kreativiti dan kemampuan masing-masing, dan dibawa ke masjid secara beramai-ramai pada pukul 5.30 petang.

“Antara masakan kampung yang dihidangkan seperti gulai ayam kampung, sayur rebun buluh, acar pisang, gulai telur itik, kerabu jantung pisang dan sambal petai serta kuih tradisional seperti nekbat, puteri mandi, bubur lambuk, lompat tikam dan tapai beras.

“Tradisi unik ini mungkin akan hilang sekiranya generasi baru tidak mengambil jalan menyambung apa yang sudah dilakukan turun temurun oleh datuk nenek kita pada masa dahulu,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment