Wednesday, August 17, 2011

Penganggur Didakwa Curi Barang Isteri di Bukit Tunggal

Ahmad Zuqhairi menggenggam penumbuknya ketika gambarnya dirakam di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu semalam.

Seorang penganggur berdepan hukuman penjara sepuluh tahun selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Kuala Terengganu semalam atas tuduhan mencuri barang milik isterinya pada bulan lalu.

Tertuduh, Ahmad Zughairi Mohd. Zuki, 25, dari Taman Indah, Al Muktafi Billah Shah dekat sini hanya menundukkan kepala dan mengaku bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Pendaftar Mahkamah, Mohd. Erman Che Mat.

Mengikut kertas pertuduhan, Ahmad Zughairi didakwa mencuri pelbagai barangan di rumah isterinya Che Wan Munirah Che Wan Aziz, 24, di Kampung Bukit Tunggal di sini pada pukul 4 petang hingga pukul 8.30 pagi pada 24 Julai lalu.

Antara barangan yang dicuri tertuduh adalah sebuah televisyen 14 inci berjenama Homax, 20 buah beg galas wanita pelbagai jenis dan satu kotak berisi pakaian wanita.

Kesalahan itu dilakukan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu mencuri dalam bangunan yang boleh membawa hukuman penjara sepuluh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Supritendan Ngiam Ooi Ming manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mohd. Erman membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin sebelum menetapkan 29 September ini untuk tarikh sebutan kes.

Kosmo!

No comments:

Post a Comment