Hotel Permai Inn, hotel milik kerajaan negeri Terengganu, berjaya mencapai 80 peratus daripada unjuran keuntungan yang disasarkan sebanyak RM10 juta, yang perlu dicapai dalam tempoh lima tahun sejak 2009.
Pengurus Besarnya, Azman Ali berkata, pihaknya menjangkakan akan mencapai matlamat sasaran RM10 juta dalam masa tidak lebih dari dua tahun lagi dengan keupayaan yang ditunjukkan hotel tersebut.
"Bagi mencapai sasaran tersebut, pihak kami telah bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk terus mempromosikan negeri ini sebagai destinasi percutian menarik selain bersama-sama memperkenalkan Hotel Permai Inn sebagai tempat penginapan yang selesa dan berpatutan.
"Kita tidak terhad dengan menawarkan perkhidmatan kepada pelancong sahaja, tapi turut mengambil pendekatan menawarkan perkhidmatan kepada mana-mana pihak seperti kerajaan mahu pun syarikat korporat untuk mengadakan majlis di sini," katanya di Kuala Terengganu.
Selain itu, sepanjang bulan Ramadan sekarang ini, katanya, pihaknya mengadakan promosi secara besar-besaran seperti menawarkan bilik dengan harga istimewa yang lebih rendah daripada biasa.
Menurutnya, promosi itu akan berkekalan sehingga menjelang Hari Raya Aidilfitri nanti bagi memberi sedikit kemudahan kepada orang ramai yang pulang beraya mahu pun pelancong.
"Pada sepanjang Ramadan, kami banyak menawarkan kepada orang ramai pakej berbuka puasa dengan harga yang berpatutan." "Sambutan yang diterima amat menggalakkan, kami memperoleh pelanggan tidak kurang dari 200 orang sehari untuk pakej tersebut, dan ia sekaligus dapat meningkatkan pendapatan hotel dan mempercepatkan kami mencapai sasaran keuntungan," katanya.
Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment