Monday, August 1, 2011

Perwaja Labur RM400 juta Bina Loji Pelet Besi

Perwaja Holdings Bhd membelanjakan RM400 juta membina loji pengeluaran pelet besi baru di Kemaman, Terengganu, menyasarkan penjimatan kos pengeluaran 15 peratus setahun.

Ia sekali gus memberi kesan ketara kepada keuntungan syarikat menerusi pembabitan lanjut dalam sektor huluan itu.

Kilang pengeluaran pelet besi yang digunakan sebagai bahan mentah dalam pengeluaran besi keluli itu mendapat bekalan bijih besi daripada pembabitan Perwaja dalam kegiatan perlombongan di lot yang dikenal pasti bagi diserahkan kepada syarikat di kawasan Bukit Besi, Dungun.

Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Abu Sahid Mohamed, berkata sebelum ini syarikat mengimport bijih besi daripada beberapa negara termasuk Brazil dan Sweden.

Beliau berkata, persetujuan kerajaan negeri membenarkan Perwaja mengeluarkan biji besi di negeri itu, dapat menjimatkan kos operasi syarikat.

“Dengan persetujuan kerajaan itu, kita menggunakan sepenuhnya bijih besi dari Terengganu untuk operasi loji baru di Kemaman,” katanya selepas majlis pecah tanah pembinaan Loji Concentration and Pelletizing Perwaja bersebelahan loji Perwaja Steel di kawasan perindustrian Telok Kalong, Kemaman disempurnakan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said, kelmarin.

Loji pelet besi itu berupaya mengeluarkan 1.2 juta tan pelet bagi fasa pertama tahun depan dan 2.4 juta tan bagi fasa kedua pada 2013.

Loji Consentration and Pelletizing adalah yang pertama di Asia Tenggara dijangka siap pada Ogos atau September tahun depan dengan mampu menyediakan 3,000 peluang pekerjaan.

“Keupayaan memproses pelet besi memberi kita kawalan terhadap kos sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada syarikat asing,” katanya.

No comments:

Post a Comment