Monday, August 1, 2011

LPP Biaya 334 Usahawan Peladang Terengganu

Tabung Pembangunan Usahawan Peladang telah membiayai 334 usahawan peladang di Terengganu dengan jumlah pinjaman hampir RM6 juta sejak 1996 hingga tahun ini.

Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang Negeri Shamsuddin Mat Rani berkata ia melibatkan usahawan dalam bidang tanaman seramai 106 orang dan 128 usahawan dalam bidang ternakan lembu dan kambing.

Selebihnya adalah usahawan bidang ternakan air, perkhidmatan pemasaran hasil pertanian dan industri kecil dan sederhana (IKS), katanya kepada Bernama.

Shamsuddin berkata untuk 2011, tabung itu telah mengeluarkan pinjaman hampir RM400,000 kepada 14 orang usahawan bidang ternakan air, pertanian dan industri kecil.

Beliau berkata antara tujuan tabung itu diwujudkan ialah untuk melahirkan golongan petani pertengahan dengan sasaran pendapatan melebihi RM3,000 sebulan.

Katanya kadar maksimum pinjaman adalah sebanyak RM50,000 seorang dalam tempoh tujuh tahun untuk bayaran balik dan diberikan dalam bentuk barangan.

Shamsuddin berkata mereka yang layak untuk pinjaman itu terdiri daripada peladang berumur 18 tahun ke atas serta terlibat dalam aktiviti pertanian sekurang-kurangnya tiga tahun.

Yang paling penting, pemohon pinjaman itu mestilah berurus niaga dengan Lembaga Pertubuhan Peladang, katanya.

No comments:

Post a Comment