Tuesday, August 2, 2011

Program 6P - 14,801 346 Pendatang Tanpa Izin Didaftar di Terengganu

Sejumlah 14,801 pendatang tanpa izin didaftarkan melalui 197 pejabat Imigresen dan 336 syarikat pengurus pada hari pertama pendaftaran Program Penyelesaian Menyeluruh Pendatang Asing Tanpa Izin (Program 6P) yang bermula kelmarin.

Selangor mencatat jumlah pendaftaran paling tinggi iaitu 4,066 orang, Pahang (1,655), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (1,461), Negeri Sembilan (1,343), Perak (1,164), Johor (999), Pulau Pinang (851), Kedah (674), Kelantan (472), Melaka (373), Terengganu (346), Perlis (155) dan Wilayah Persekutuan Labuan (21).

Timbalan Ketua Setiausaha (Kanan) Kementerian Dalam Negeri, Datuk Alwi Ibrahim berkata walaupun timbul masalah pada hari pertama pendaftaran semalam berikutan masalah sistem, Jabatan Imigresen akan mengatasinya dengan kadar segera iaitu dalam tempoh 24 jam.

"Pada hari pertama, terdapat beberapa perkara yang perlu diperbaiki oleh Imigresen dan syarikat pengurus. Kita dapatkan maklum balas apa masalah yang berlaku dari segi sistem dan akan mengatasinya dalam masa yang singkat.

"Ini berkaitan dengan sistem, kadang-kadang ada masalah dengan komputer, password, dan ini sedang diatasi," katanya kepada pemberita di Putrajaya hari ini.

Sementara itu, Alwi berkata sehingga semalam, sejumlah 733,904 pekerja asing sah telah direkodkan berdaftar melalui pejabat Imigresen, iaitu 61 peratus daripada keseluruhan 1.2 juta pekerja asing di negara ini, tidak termasuk sektor pembantu rumah.

Beliau berkata Sabah yang telah memulakan pendaftaran pendatang tanpa izin lebih awal bermula 18 Julai lepas, telah merekodkan 130,937 orang termasuk 937 yang dicatat semalam, dan ia akan diteruskan sehingga 8 Ogos.

"Untuk Sarawak yang mula mendaftarkan pekerja asing sahnya bermula semalam, sehingga tamat operasi hari pertama, sejumlah 610 orang direkod menerusi 28 kaunter pejabat Imigresen di 11 Bahagian seluruh Sarawak," katanya.

Mengulas mengenai dakwaan terdapat syarikat pengurus yang mengenakan bayaran RM300 terhadap pekerja tanpa izin ketika proses pendaftaran, beliau berkata pihaknya mengalu-alukan orang ramai dan media yang mempunyai maklumat berhubung perkara itu agar memaklumkan kepada kementerian.

Kementerian akan mengambil tindakan tegas termasuk menarik balik sijil pelantikan syarikat pengurus yang telah dilantik bagi tujuan itu daripada mengendalikan program berkenaan, katanya.

Beliau berkata ini kerana bayaran yang dikenakan bagi pendaftaran di 336 syarikat pengurus terlibat ialah RM35 sahaja manakala pendaftaran di pejabat Imigresen, percuma.

No comments:

Post a Comment