Tuesday, August 2, 2011

Terengganu Hidupkan Balik Tanaman Limau Madu

Jabatan Pertanian Terengganu kini menghidupkan semula tanaman limau madu, bermula dengan projek seluas 11 hektar di Kuala Berang.

Pengarahnya Md Yusof Maidin berkata projek perintis itu disertai 30 penduduk dari tiga buah kampung iaitu Kampung Lubok Periuk, Kampung Telaga dan Kampung Kolam.

"Kita mengambil langkah menghidupkan semula tanaman limau madu di Terengganu setelah mempelajari kesilapan yang lalu," katanya semalam.

Terengganu sebelum ini mengusahakan tanaman itu secara besar-besaran, namun projek tersebut gagal selepas tanaman musnah diserang penyakit.

Mengulas projek kali ini, Md Yusof berkata projek dilaksana secara sistematik dan dilengkapi kemudahan asas mencukupi termasuk sistem pengairan bagi memastikan masalah sama tidak berulang.

Selain itu, beliau berkata jabatannya juga memberi perhatian kepada kawalan penyakit bagi memastikan tanaman tersebut sentiasa subur dan mengeluarkan hasil sebagaimana disasarkan.

Katanya bantuan kira-kira RM100,000 telah dikeluarkan oleh Jabatan Pertanian untuk membantu peserta projek itu meliputi pembersihan kawasan, benih, baja, membina setor dan jalan.

Md Yusof berkata pihaknya mensasarkan tanaman limau di Kampung Lubuk Periok yang melibatkan 2,200 pokok mengeluarkan hasil pertama tahun depan, sementara Kampung Telaga (500 pokok) dan Kampung Kolam (220 pokok) akan mengeluarkan hasil dua tahun lagi.

Katanya untuk tahun pertama, pihaknya menganggarkan projek itu mengeluarkan hasil sehingga 300kg sepohon manakala harga pasaran pula antara RM3 hingga RM3.50 sekilogram.

No comments:

Post a Comment