Mustaffa Abu Bakar mencari kalau-kalau masih ada barang yang terselamat selepas rumahnya musnah terbakar dalam kejadian di Kampung Atas Tol, Kuala Terengganu semalam.
Seorang wanita pengsan dan dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) selepas terkejut apabila rumah didiaminya lebih 30 tahun di Kampung Atas Tol, hangus dalam kebakaran pagi semalam turut memusnahkan semua barangan persiapan Ramadan dan Aidilfitri.
Ketika kejadian jam 11.35 pagi itu, mangsa, Wan Mahani Wan Omar, 57, sedang bekerja di tempat memproses keropok tidak jauh dari rumahnya dan bergegas pulang selepas dimaklumkan kejadian itu oleh anaknya.
Suaminya, Mustaffa Abu Bakar, 56, berkata beliau bersama cucu, Mohd Faris Farizal Faizal, 3, sedang berehat di luar rumah dan terdengar bunyi percikan api dari dapur dan selepas itu, api mula marak menyebabkan mereka berlari keluar menyelamatkan diri.
“Saya berlari keluar memaklumkan kepada kakak ipar yang tinggal berhampiran rumah dan kami tidak sempat menyelamatkan harta benda.
“Memang sedih kerana ia terjadi pada bulan Ramadan dan akan menyambut Aidilfitri, tetapi saya tetap bersyukur tiada kemalangan jiwa berlaku dalam kebakaran ini,” katanya ditemui di perkarangan rumah didiami bersama isteri dan dua anak, semalam.
Kakak ipar mangsa, Zurina Maidin, 46, berkata selepas mengetahui kebakaran itu, dia menghubungi bomba tetapi ketika pasukan itu tiba, keseluruhan rumah sudah hangus.
Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payung, Zaidi Muda, yang melawat mangsa kebakaran berkata, bantuan segera sebanyak RM1,000 akan disalurkan kepada mangsa, manakala urusan membina rumah baru akan dilakukan kemudian.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Kamerul Bieza Mohamad Kassim yang mengesahkan kejadian itu berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 11.37 pagi.
“Seramai 16 anggota dengan tiga jentera bomba berjaya memadam api dalam tempoh lima minit dan ketika tiba, hampir 90 peratus rumah sudah musnah terbakar dengan kerugian dianggarkan kira-kira RM100,000, manakala punca kejadian masih disiasat,” katanya.
No comments:
Post a Comment