Wednesday, August 3, 2011

Harap Peragut Menerima Hukuman Setimpal Atau Lebih Teruk Daripada Adik...

Maimunah menemani Maleha yang dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah selepas terbabit kemalangan di Jalan Kamarudin, ketika mengejar peragut beg tangannya, kelmarin.

"Jika boleh saya ingin berjumpa dengan peragut dan biar dia menerima hukuman yang setimpal atau lebih teruk daripada keadaan yang menimpa adik."

Demikian luahan mangsa ragut Maleha Malik yang cedera parah dalam kejadian ragut di Jalan Kamaruddin, di Kuala Terengganu, Ahad lepas.

Maleha, 24, ketika ditemui di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu, semalam, masih di dalam keadaan lemah dan amat sedih kerana adiknya Maizatul Akmal, 22, masih koma.

"Sekarang saya masih rasa sakit lagi di bahagian tangan dan perut,tapi saya rasa lebih tertekan kerana adik masih belum sedarkan diri," katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi Ahad lalu, dua beradik itu cedera parah apabila motosikal yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lagi motosikal dari arah bertentangan semasa mereka mengejar peragut yang melarikan beg tangan mereka.

Kejadian itu berlaku apabila kedua-dua beradik itu yang bermotosikal dipercayai dalam perjalanan dari rumah mereka menuju ke Kompleks Sri Iman dekat sini untuk mengambil Wang Dana Bakti Remaja yang diberikan oleh kerajaan negeri.

Dalam kejadian itu, Maleha yang hampir putus tangan serta luka di beberapa bahagian badan telah mula sedarkan diri semalam setelah menjalani pembedahan di hospital itu manakala adiknya masih koma.

Bagi Maimunah Salim, 47, dari Flet Seri Kolam di Kuala Terengganu, sambutan Ramadan tahun ini suram kerana dua anak gadisnya cedera dengan seorang daripadanya koma selepas terbabit kemalangan di Jalan Kamarudin, dipercayai ketika mengejar peragut beg tangannya, pagi kelmarin.

Dalam kejadian jam 8.30 pagi itu, dua beradik berkenaan, Maleha Malik, 25, dan adiknya Maizatul Akmal, 22, menunggang motosikal ke Kompleks Seri Iman di Jalan Sultan Muhammad mengambil wang dana bakti remaja.

Sebaik tiba di persimpangan Jalan Kamarudin, seorang penunggang motosikal dikatakan meragut beg tangan Maleha dan mereka mengejar peragut itu tetapi terbabit kemalangan tidak jauh dari situ.

Maimunah berkata, anaknya kemudian dihantar orang ramai ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Sehubungan itu, Maimunah berkata, beliau berharap orang ramai yang melihat kejadian itu tampil membantu siasatan kerana mahu peragut anaknya diadili.

“Saya tak maafkan peragut itu, biar Tuhan membalas dosanya. Melihat keadaan kedua-dua anak, saya tidak yakin mereka dapat menyambut Aidilfitri tahun ini,” katanya.

Ketua Polis Negeri Datuk Jamshah Mustapa yang melawat mangsa di hospital itu semalam berharap orang ramai membantu menyalurkan maklumat untuk mengesan peragut terbabit.

No comments:

Post a Comment