Wednesday, August 10, 2011

SolarTIF Bina Kilang Panel Solar RM20j

Shamsul Ezan Zairi (kanan) bersama kakitangan SolarTIF Sdn. Bhd. menunjukkan panel solar di Pejabat SolarTIF Sdn. Bhd. Chendering Kuala Terengganu, semalam.

SolarTIF Sdn., Bhd., pengeluar panel solar akan mengembangkan operasi perniagaannya dengan membina kompleks kilang baharu di kawasan seluas 1.2 hektar di Chendering dekat Kuala Terengganu .

Projek yang menelan belanja kira-kira RM20 juta itu bakal dilengkapi pelbagai prasarana dan dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2015.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shamsul Ezan Zairi berkata, projek tersebut akan melalui tiga fasa pembinaan dan keseluruhan projek dijangka mengambil masa antara 12 bulan hingga 18 bulan untuk siap.

Tambah beliau, fasa pertama pembinaan membabitkan sebuah blok setinggi empat tingkat yang menempatkan unit pengeluaran.

Fasa kedua pula jelasnya, mengandungi ruang pejabat, asrama, restoran, bangunan latihan manakala untuk fasa ketiga menempatkan surau, kolam renang, rumah rehat dan taman solar.

"Buat masa ini kita sedang dalam proses perundingan dengan pihak-pihak berkenaan termasuk di segi pelepasan pembangunan untuk memajukan tanah dan tanah ini adalah milik kita.

"Jika segala-galanya berjalan lancar, ia akan mula dibina pada tahun depan. Kilang baharu ini hanya terletak 200 meter dari kilang sedia ada di kawasan perindustrian Chendering," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sebaik sahaja kilang itu siap kelak, Shamsul Ezan berkata, pihaknya menyasarkan pengeluaran kira-kira 250,000 panel solar 50 megawatt (mw) dihasilkan pada tahun 2013 manakala kira-kira 500,000 panel solar 100 mw pada 2015.

Beliau berkata, sejak ditubuhkan pada Jun 2007 lalu, syarikat itu kini mempunyai tiga cawangan operasinya termasuk sebuah di Chittagong, Bangladesh.

"Selain ibu pejabat di Chendering ini, kami sudah membuka sebuah cawangan di Serdang, Bangi di samping di Bangladesh," ujarnya.

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment