Wednesday, August 10, 2011

Tukang Kebun Mardi Didakwa Pukul Ibu Tiri Guna Batang Besi

Seorang tukang kebun Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Kuala Terengganu, semalam atas tuduhan mencederakan ibu tirinya menggunakan sebatang besi panjang, Sabtu lepas.

Fatihi Hamidi Zakaria, 27, dituduh mencederakan Zaliha Othman, 43, dengan menggunakan sebatang besi panjang berbentuk V di hadapan rumah mereka di Losong Haji Mamat, kira-kira 4 petang, 6 Ogos lepas.

Dia dituduh mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua seksaan, jika sabit kesalahan.

Tertuduh mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Abd Hayyi Salim.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Inspektor Miky Dunstan Muda mengemukakan memo daripada hospital kepada mahkamah yang memaklumkan tertuduh penghidap penyakit sawan.

Apabila ditanya Abd Hayyi sama ada dia ada mengambil ubat yang diberikan oleh doktor, tertuduh memberitahu dia tidak pernah putus mengambil ubatnya.

Mahkamah kemudian menetapkan 29 Sept ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan mengarahkan tertuduh dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk menjalani ujian kesihatan mental.

Abd Hayyi turut membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin sementara menunggu tarikh sebutan semula

No comments:

Post a Comment