Friday, August 5, 2011

Terengganu Akan Laksana Penanaman Kelapa Mantaq, Pandan

Kerajaan Terengganu akan melaksanakan projek penanaman kelapa mantaq dan kelapa pandan melibatkan kawasan seluas 200 hektar di Kampung Kubang Puyu di Setiu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri Asha'ari Idris berkata, projek penanaman 26,000 batang pokok itu disertai 25 peserta dan akan dijalankan secara berperingkat bermula akhir tahun ini.

"Fasa pertama tanaman itu seluas kira-kira 100 hektar akan bermula akhir tahun ini manakala selebihnya akan ditanam tahun depan," katanya kepada Bernama semalam.

Asha'ari berkata, kerajaan negeri telah memperuntukkan RM1 juta untuk kerja-kerja membersih kawasan dan menyediakan kemudahan asas bagi projek tersebut.

Beliau berkata, pemilihan kelapa mantaq adalah untuk penghasilan santan kerana isinya tebal, manakala kelapa pandan pula untuk pasaran air kelapa muda.

Katanya, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan industri asas tani bagi mendapatkan benih kelapa mantaq memandangkan benih tanaman itu dikawal kementerian berkenaan.

"Benih kelapa pandan tidak menjadi masalah, kita boleh dapat di mana-mana sahaja untuk menjayakan projek ini," katanya.

Asha"ari berkata, kelapa mantaq mahupun kelapa pandan biasanya akan mengeluarkan hasil dalam masa tiga tahun selepas ditanam.

Beliau berharap pelaksanaan projek itu akan sedikit sebanyak membantu mengatasi masalah kekurangan kelapa di Terengganu, terutamanya pada musim-musim perayaan selain mengatasi masalah kemiskinan di daerah itu.

No comments:

Post a Comment