Apakah kehadiran begitu ramai rakyat pada rumah terbuka pemimpin kerajaan, khususnya Menteri Besar menggambarkan sokongan padu rakyat kepada kepimpinan Datuk Seri Ahmad Said?
Penambahan bilangan kehadiran orang ramai yang mendadak tahun ini menggembirakan semua pihak khususnya Menteri Besar, biarpun beliau cuba menyembunyikan kegembiraan dan kesyukurannya!
Dilaporkan hampir 30,000 rakyat pelbagai lapisan dan berbilang bangsa dari segenap pelosok negeri ini termasuk dari negeri lain membanjiri pekarangan kediaman Ahmad Said sempena Rumah Terbuka Aidilfitri pemimpin nombor satu Terengganu itu di Telok Kalong, kelmarin.
Ini menyamai jumlah yang hadir pada rumah terbuka Menteri Besar di kediamannya Seri Iman, pada hari raya pertama lalu.
Seperti biasa, pada majlis rumah terbuka seperti ini Ahmad Said akan cuba beramah mesra dengan semua hadirin, malah tidak teragak-agak untuk mengangkat atau menceduk mee, nasi atau lauk pauk untuk tetamu.
Kemesraan sebegini digemari rakyat kerana mereka merasa kedatangan dihargai dan bagaikan berada 'di rumah sendiri'.
Hakikatnya, angka melebihi 30,000 orang yang hadir itu adalah suatu angka yang amat besar, apatah lagi ia berlangsung secara ‘bersahaja’ tanpa jemputan dibuat.
Rakyat terbuka hati di hari mulia untuk menemui seorang pemimpin yang berjiwa rakyat dan sentiasa ‘berterus terang’ selain tidak jemu-jemu memikirkan kebajikan dan kesenangan untuk rakyat.
Juga sambutan seperti ini membuktikan pendekatan ‘Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’ yang diperkenalkan oleh beliau kini benar-benar dijiwai dan menyentuh naluri rakyat.
Menurut laporan Sinar Harian semalam, kebanjiran begitu ramai pengunjung itu juga menjadikan jumlah kehadiran pengunjung tahun ini adalah yang tertinggi.
Kehadiran pengunjung pada Rumah Terbuka Aidilfitri yang dianjurkannya tahun ini dianggarkan meningkat sebanyak 10,000 orang berbanding tahun lalu.
“Alhamdulillah, sambutan (rumah terbuka Aidilfitri) semakin besar. Menerusi program ini saya juga dapat bertemu rakyat, kalau tidak, payah untuk dapat peluang berjumpa sebegini,” katanya gembira dalam persalinan baju Melayu berwarna hijau muda sedondon bersama isteri, Toh Puan Seri Norliza Mahmud dan anak-anak.
Namun Ahmad Said enggan mengulas dan mahu rakyat menilai sendiri mengenai kebanjiran begitu ramai pengunjung dan tetamu itu sebagai tanda peningkatan sokongan rakyat.
Yang menariknya seperti juga di Seri Iman, biarpun acara rumah terbuka untuk orang ramai itu bermula pada jam 10 pagi, tetapi pengunjung telah mula tiba sejak jam 8 pagi bagi mengelakkan kesesakan serta untuk bersalaman dengan Ahmad dan isteri.
Teganukita pula menyebut, kehadiran rakyat begitu ramai menampakkan betapa ‘popularnya’ Ahmad Said di sisi rakyat.
Mungkin pendekatan Menteri Besar itu yang bersahaja dengan rakyat dan tidak terlalu ‘protokol’ menyebabkan rakyat begitu senang berdepan dengan beliau.
Sebenarnya inilah makna dan semangat pemimpin bersama rakyat yang pernah disarankan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd.Najib Tun Abdul Razak.
Perdana Menteri yang memperkenalkan konsep “Juara Rakyat’ pernah meminta supaya pemimpin sentiasa turun padang menemui rakyat tanpa terlalu protokol, sebaliknya menghayati dan merasai denyut nadi kehidupan rakyat.
Hakikatnya penerimaan rakyat terhadap beliau lebih kepada kekuatan dirinya sendiri sesuai dengan kedudukannya yang berasal dari keluarga sebuah kampong iaitu Teluk Kalong, Kijal Kemaman dan amat memahami sanubari dan denyut nadi rakyat
Malah, majlis berkenaan lebih berseri dengan kehadiran Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang juga Ahli Parlimen Kemaman, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Mohamed Awang Tera, Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Kemaman, Mohd Hisham Zubir dan ketua-ketua jabatan kerajaan dan swasta serta badan bukan kerajaan (NGO).
Pengunjung disajikan dengan pelbagai juadah istimewa dan makanan tradisional seperti lemang, ketupat, rendang, nasi dagang, sate, martabak dan pelbagai jenis kuih raya yang boleh didapati di 30 gerai yang disediakan.
Lebih menghangatkan suasana raya, pengunjung turut dihiburkan dengan dendangan lagu-lagu hari raya malah sebuah pentas khas tersedia kerana pengunjung turut disajikan dengan persembahan tarian dan kebudayaan lain.
Semoga pendekatan cakna dan berjiwa rakyat yang ditunjukkan oleh Ahmad Said dan isteri To’Puan Norliza dicontohi oleh ahli politik Terengganu dan pimpinan kerajaan yang lain.
No comments:
Post a Comment