Tuesday, September 13, 2011

UMT-KMTPh Tandatangani MoU Jalin Kerjasama

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) kelmarin memeterai satu memorandum persefahaman (MoU) bersama Kolej Matrikulasi Teknikal Pahang (KMTPh) dalam usaha menarik lebih ramai lepasan matrikulasi ke universiti itu.

Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Dr. Aziz Deraman berkata, MoU yang julung-julung kalinya ditandatangani itu juga bertujuan mempromosikan UMT kepada penuntut di sana.

Katanya, KMTPh merupakan kolej matrikulasi pertama yang menjalinkan kerjasama dengan UMT
setakat ini.

"Ini langkah yang bagus dalam menggalakkan pelajar lepasan matrikulasi menyertai UMT," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani MoU itu di UMT kelmarin.

Hadir sama Pengarah KMTPh, Mohd. Shaari Azyze Mohd. Salleh Azyze.

Seramai 21 lepasan KMTPh telah mendaftar di UMT sebagai penuntut baru untuk mengikuti kursus peringkat Ijazah Sarjana Muda bagi tahun 2011/2012.

Tahun ini sahaja, UMT telah berjaya menerima 2,107 orang pelajar baru yang mula mendaftar sejak 6 September 2011 bagi mengikuti 25 kursus Ijazah Sarjana Muda dan satu kursus Diploma Perikanan.

Menjelang tahun depan pula, universiti itu dijangka menambah dua lagi kursus iaitu kursus berkaitan Pengurusan Pelancongan dan Informatik Marin sebagai pilihan kepada kursus sedia ada.

No comments:

Post a Comment