Pelajar baru Universiti Sultan Zainal Abidin mendaftar masuk bagi sesi 2011/2012 di Kampus UNiSZA Kuala Terengganu, baru-baru ini.
Seramai 925 pelajar diterima memulakan pengajian program peringkat ijazah di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bagi pendaftaran sidang akademik 2011/2012 di kampus itu Ahad lalu.
Mereka adalah daripada kalangan lebih 14,000 pemohon dari seluruh negara dan paling ramai datangnya dari Kelantan, Terengganu serta Selangor.
Mereka bakal mengikuti pengajian di sembilan fakulti termasuk fakulti bahasa dan komunikasi, informatik, pengajian kontemporari Islam, pengurusan perniagaan dan perakaunan, pertanian dan bioteknologi.
Naib Canselor UniSZA, Datuk Prof. Dr. Alias Daud berkata, sebilangannya pula akan memasuki fakulti perubatan dan sains kesihatan, reka bentuk inovatif dan teknologi, undang-undang dan hubungan antarabangsa serta teknologi makanan.
"Saya harap semua pelajar baru ini dapat menyesuaikan diri sepanjang pengajian di kampus ini dan penganjuran Minggu Mesra Siswa diharap dapat menjadi platform terbaik untuk pelajar mengenali rakan-rakan baru," katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada majlis perasmian Minggu Mesra Siswa UniSZA, Kampus Gong Badak, kelmarin yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.
Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Abdul Manaf Ali dan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Nordin Jusoh
.
Katanya, dengan sokongan yang diberikan kerajaan negeri, ia mampu mengukuhkan lagi peranan UniSZA sebagai institusi pendidikan yang disegani di negara ini dalam melahirkan siswazah yang berkualiti.
Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment