Wednesday, September 7, 2011

Terengganu, T'Team Mulakan Kempen Piala Malaysia Dengan Bergaya

Perebutan bola antara pemain Selangor dan T-Team menggambarkan sengitnya perlawanan kedua-dua pasukan di Kuala Terengganu semalam yang berkesudahan Selangor tewas 0-1. -Gembar Harith Fadzillah

Tahniah untuk dua pasukan bolasepak Terengganu – pasukan Terengganu dan T’Team kerana memulakan langkah baik kempen Piala Malaysia, semalam.

Terengganu khususnya bermula dengan langkah kanan walaupun bertandang ke gelanggang lawan. Terengganu menang 3-0 ke atas Sime Darby di Stadium MP Selayang, apabila memperolehi jaringan melalui Joseph Kallang Tie pada minit keenam manakala Reshafiq Alwi menambah gol kedua 12 minit sebelum separuh masa pertama tamat dan gol ketiga disumbang Abdul Manaf Mamat pada minit ke-86.

T’Team walaupun berdepan pasukan pilihan – Selangor – mengulangi kecemerlangannya ke atasThe Red Giant seperti pada kempen Piala Liga,memang 1-0 di gelanggang sendiri di Kuala Terengganu.

Selangor yang beraksi dalam Kumpulan D terpaksa menerima hakikat bahawa persediaan mereka masih kurang mantap tatkala T-Team menggunakan kesempatan beraksi di gelanggang sendiri di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah untuk mencatat kemenangan 1-0 hasil jaringan Norfazly Alias pada minit ke-73.

Sebuah lagi pasukan Pantai Timur, Kelantan turut memulakan kempen Piala Malaysia 2011 dengan cemerlang selepas menundukkan Sarawak 2-0 di tempat lawan.

Di Stadium Negeri, Kuching Kelantan yang juga juara Liga Super musim ini tidak menghadapi masalah untuk memungut tiga mata dalam saingan Kumpulan C menewaskan Sarawak 2-0 hasil jaringan Norshahrul Idlan Talaha minit ke-69 dan S. Chanturu 85.

Di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam tadi, Terengganu tampil dengan lima pemain kebangsaan - Sharbinee Allawee Ramli, Helmi Remeli, Joseph Kalang Tie, Ashari Samsudin dan Abdul Hadi Yahaya manakala ketiadaan bek kiri skuad Olimpik negara, Zubir Azmi ditampung Ronny Harun.

Pemain Terengganu, Ashaari Samsudin (kiri) berentap dengan pemain Sime Darby, Mohammad Syukur Saidin pada perlawanan Kumpulan B Piala Malaysia n di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam tadi.

Hanya lima minit diperlukan Terengganu untuk memperoleh gol pertama menerusi tandukan Joseph Kalang selepas dia pantas menyambung umpanan Reeshafiq Alwi hasil sepakan sudut Ashari.

Sime Darby sesekali mencuba tetapi ketumpulan sentuhan penyudah Faizal Esahar dan Mohd Faiz Isa memudahkan tugas Sharbinee mempertahankan gawang Terengganu.

Pada minit ke-32, Terengganu menambah gol kedua selepas rembatan kencang kaki kanan Reeshafiq dari luar kotak penalti berjaya melepasi jangkauan penjaga gol Sime Darby, Soffuan Tawil.

Bersambung babak kedua, Terengganu terus menampilkan penguasaan penuh tetapi Ashari, Hadi dan Abdul Manaf Mamat banyak mempersiakan peluang depan pintu gol Sime Darby.
Manaf akhirnya berjaya meledak gol ketiga Terengganu selepas menyudahkan lorongan cantik pemain gantian, Ailim Fahmi Kamaruddin pada minit ke-84.

Pemain Sarawak, Ashri Chu Chu membuat percubaan sambil dihalang pemain Kelantan, Mohd Daudsu Jamaludin ketika saingan Kumpulan C Piala Malaysia di Stadium Negeri Kuching, malam tadi. Pelawat menang 2-0.

Sebagai juara bertahan, Kelantan melaungkan amaran awal untuk mempertahankan mahkota kejuaraan Piala Malaysia apabila memberi persembahan bertenaga menewaskan pasukan Liga Perdana, Sarawak 2-0 dalam saingan Kumpulan C di Stadium Negeri, Kuching, malam tadi.

Congakan jurulatih, Datuk M Karathu mengatur strategi berjaya dimanfaatkan dengan baik anak didik walaupun cabaran mereka teruji pada babak pertama tanpa mampu menjaringkan sebarang gol buat melegakan tuan rumah pimpinan Robert Alberts.

Sebaik wisel permulaan dibunyikan The Red Warriors terus melancarkan serangan ke kubu Sarawak namun ia tidak membutirkan sebarang hasil apabila berjaya dipatahkan barisan pertahanan lawan.

Nyata kesungguhan ditunjukkan pemain skuad Pantai Timur itu terus menemui jalan buntu apabila diikat seri 0-0 sehingga tamat separuh masa pertama.

Sejurus separuh masa kedua disambung, skuad kendalian jurulatih berpengalaman kembali melancarkan serangan sebelum penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha berjaya meletakkan Kelantan pada minit ke 69.

Sarawak yang ketinggalan satu gol bagaimanapun tidak memberi ruang mudah apabila berjaya mengekang banyak peluang keemasan yang dicipta penyerang Kelantan.

Harapan 20,000 penyokong tuan rumah untuk melihat kebangkitan Sarawak musnah apabila seorang lagi pemain kebangsaan S Chanturu menolak baik bola hantaran Norshahrul pada minit ke 85.

Kuala Lumpur mencuri tumpuan dalam saingan Kumpulan D selepas membenam Polis Diraja Malaysia (PDRM) 3-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi menerusi gol sendiri Azrul Azman (44) , Badrul Hisyam Azmi (64) dan Yong Kuong Yong (76).

Turut mengutip tiga mata penuh pada saingan kumpulan B naib juara Piala Malaysia 2010, Negeri Sembilan yang menewaskan Selangor PKNS 2-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya.

PKNS terlebih dahulu membuka jaringan seawal minit ke-8 hasil jaringan Mohd Norhafizzuan Jailani sebelum skuad rusa bangkit menyamakan kedudukan selang enam minit kemudian hasil jaringan Hairuddin Omar dan Shahurain Abu Samah menyumbang gol kemenangan pada minit ke-45.

Pemain Negeri Sembilan, Hairuddin Omar (kanan) cuba menghalang sepakan pemain PKNS, Rajesh Perumal pada perlawanan Piala Malaysia di Stadium MBPJ, semalam.

Kedah menerajui Kumpulan A selepas memungut tiga mata dengan menewaskan Johor 2-0 di Stadium Larkin hasil Khyril Muhymeen Zambri yang menyumbat dua gol pada minit ketujuh dan ke-80.

Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan C di Stadium Pasir Gudang, Felda United menang 2-0 ke atas Johor FC apabila Farderin Kadir muncul wira dengan menjaringkan kedua-dua gol tersebut pada minit ke-44 dan ke-68.

Sabah gagal menggunakan kesempatan beraksi di gelanggang sendiri, Stadium Likas apabila terikat tanpa jaringan bertemu Perak.

Pertahanan Perak mengasak penyerang Sabah, Sharul Azhar Tureh (kiri) ketika saingan Kumpulan A Piala Malaysia di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam tadi yang berkesudahan seri 0-0.

Sumber Berita Harian, Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment